Khamis, 31 Disember 2009

Masa Pantas Berlalu...

Rasanya masa setahun tu berlalu dengan pantas. Beberapa jam lagi kita akan melangkah ke tahun baru dan yang pastinya ini adalah posting terakhir bagi tahun 2009. 1-2 hari ni penulis banyak membaca blog-blog yang lain atau status FB yang menceritakan azam tahun baru, kenangan tahun ini dan pelbagai lagi. Dalam kesibukan tugas, penulis coretkan juga sedikit berkenaan tahun yang akan kita tinggalkan ini.

Seperti biasa penulis juga telah memasang azam 2009 iaitu meningkatkan lagi usaha dalam bisnes & kerjaya. Pelbagai perancangan & strategi telah dilakukan sebelum tiba tahun baru. Semangat bekerja keras pula ditanamkan lagi agar dapat memenuhi perancangan yang telah diatur. Ini kerana penulis sahaja yang menanggung keluarga yang semakin besar, maka sesuatu harus dilakukan dizaman yang penuh mencabar ini.

Jika setahun yang lalu, penulis menyambut tahun baru dengan makan bersama Kaff & Artakus. Tiada apa yang menarik cuma makan-makan biasa sahaja. Namun selepas itu, penulis dapat rasakan, tahun 2009 penuh dengan pahit manisnya yang tersendiri. Pelbagai peristiwa suka duka telah dilalui. Banyak perkara telah dilakukan samada berjaya atau tidak dalam masa 365 hari tersebut. Bila diimbas kembali, memang sukar dipercayai.

Antara rentetan peristiwa yang diingati adalah melayan karenah Na'wa yang tangan bersimen akibat terjatuh di Plaza Angsana. Melihat Na'wa bersekolah buat kali pertama. Melawat nenek yan sakit di hospital Kuantan. Meraikan majlis perkahwinan Angah di Kuala Lumpur. Bercuti bersama keluarga di Melaka. Diherdik dikyalayak ramai semasa bertugas. Berhenti kerja setelah 6 tahun & akhirnya pulang semula ke kampung.

Diatas adalah antara peristiwa-peristiwa peribadi yang penulis lalui, belum lagi disenaraikan dalam urusan kerja dan bisnes. Walaubagaimana susah sekali pun, penulis dapat laluinya dengan baik dan alhamdulillah hampir semua telah berjaya. Penulis juga berterima kasih kerana disekeliling ramai rakan & keluarga yang memberi sokongan kepada penulis. Pengalaman itu memang mendewasakan seseorang insan dalam melalui kehidupannya.

Akhir kata, penulis harapkan agar anda semua berjaya memenuhi azam tahun ini dan seterusnya berusaha melaksanakan azam tahun hadapan. Kepada yang kurang berjaya, cuba lagi perbaiki pada tahun hadapan. Jangan biarkan ia membelengui hidup anda. Walau apapun azam anda, pastikan ianya memberikan hasil yang baik kepada diri anda, bangsa & agama. Selamat menyambut tahun baru 2010!

*p/s - posting yang akan datang, penulis akan paparkan statistik apa yang telah penulis lakukan sepanjang tahun ini. Insya Allah...

Isnin, 7 Disember 2009

Kenapa Dah Lama Tak Update Blog?

Warggghhh!!! Banyaknya sawang kat blog mencipta memori ni!!! Anai-anai, tikus semuanya ada. Ya...akhir-akhirnya penulis sangat sibuk dengan tugas baru & urusan pindah rumah. Semasa blog ini ditaip pun, hanya curi-curi masa dengan mata yang kepenatan, tetapi tetap teruja ingin meneruskan lagi arena blogging ni. Insya Allah, dari masa ke semasa, blog ini akan tetap penuh dengan pengisiannya.

Disini penulis ringkaskan sedikit, apa aktiviti yang telah penulis lakukan sepanjang blog ini tidak dikemaskini. Terlalu banyak program yang dilalui sehinggakan tidak sempat untuk berkongsi dengan pembaca semua. Kepala pun agak serabut sebab nak buat itu dan ini tetapi alhamdulillah semuanya bergantung kepada perancangan kita sendiri. Bijak merancang bijaklah haslnya. Insya Allah.

Bertemu dengan kawan-kawan lama antara yang paling seronok pulang ke kampung...

Minggu sibuk penulis bermula pada suatu hari rabu dimana penulis ke Perjumpaan Jurufoto Johor di UTM pada sebelah malam. Perjumpaan tahunan ini adalah kali kedua dimana kali ini kehadirannya tidak seramai perjumpaan pertama. Ramai muka-muka baru yang hadir & antara penyampai malam itu adalah saudara Roslee dari CST production yang menerangkan tentang video DSLR.

Roslee menerangkan tentang video DSLR. Nampak macam menarik dan terasa ingin mencuba...

Hanya sampai separuh program, dalam jam 10.30 malam penulis dengan keluarga bergerak pulang ke Endau malam itu juga dan itu adalah kali terakhir anak-anak penulis keluar dari rumah sewa di Johor Bahru. Perlu pulang segera kerana pada pagi keesokan harinya penulis perlu menaiki bas ke Kuala Lumpur untuk menyertai kursus induksi bersama CCMSB selama 3 hari 2 malam.

Kawan-kawan baru dari CBC dibawah DIGI & CCMSB semasa makan di Kenny Rogers IOI Mall Puchong...

Antara gambar yang sempat dirakan semasa menunggu bas pulang ke Endau dari Puduraya...

Pulang dari Kula Lumpur penulis terus memulakan kerja untuk hari pertama. Seminggu selepas itu, penulis bergerak ke Johor Bahru untuk mengangkat barang-barang yang tinggal dengan menggunakan lori. Sehari suntuk penulis menguruskannya, menguruskan urusan gaji, album pelanggan dan lain-lain hal dari pagi hinggalah ke malam. Namun saat yang paling menyedihkan apabila melihat rumah sewa itu untuk kali terakhir.

Dapatlah bersama mereka ini di petang hari raya haji. Walaupun sekejap tetapi tetap meriah...

Sampai sahaja di Endau, bersambung pula untuk sesi mengemas dirumah baru pula. Acara susun menyusun, kemas-mengemas tak habis-habis sampai sekarang. Seterusnya penulis menghadiri mesyuarat untuk pelancaran CBC Teriang Besar. Nampaknya selepas ini penulis akan semakin dan semakin sibuk lagi dengan urusan pelancaran yang akan dijangkakan pada pertengahan Januari.

Begitulah secara ringkasnya apa yang terjadi kepada penulis dalam masa 3 minggu ini. Masa yang panjang itu terasa sungguh pantas berlalu. Alhamdulillah setakat ini penulis masih mampu membahagikan masa antara kerja, keluarga & kawan-kawan. Akan datang cabaran semakin mencabar dengan beberapa pengantin sudah menunggu untuk gambar mereka dirakam. Semoga penulis terus mampu menghadapi apa jua yang datang!

*p/s- semasa entry ini ditaip, penulis mendapat berita sedih kematian baby didalam perut salah seorang sepupu rapat penulis di KL. Takziah untuk mereka sekeluarga...

Ahad, 15 November 2009

Terima Kasih KPYPJ...

Antara gambar terawal diambil di KPYPJ. Dari kiri penulis, Pn. Mardziah, Andik (praktikal), Rafee, Maria (praktikal), Ust. Wan & En. Jamal

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada semua warga kerja KPYPJ,

Pada 1 Mac 2004, penulis datang melapor diri ke KPYPJ sebagai Pegawai Sistem Maklumat. Ketika itu penulis menggantikan seorang staf bernama Hanizam, dialah orang pertama yang menelefon penulis dan memberi penerangan selama sebulan sebelum dia menghabiskan cuti. Tempat pertama penulis adalah di level M, Wisma YPJ Holdings bersama 2 lagi rakan sekerja iaitu Shahrudin & Shahrul.

Unit Komputer ketika itu dibawah Bahagian Korporat bersama Unit latihan dan Pengarah Korporat ketika itu adalah En. Jamaluddin Hamzah. Disitu penulis mengenali Kafi, Halim, Rafee, Ustaz Wan daln lain-lain. Walaupun baru bekerja ketika itu, namun level M begitu mesra dengan gelagat selamba En. Jamal & perangai gila-gila kami. Begitulah antara sejarah awal penulis ketika bersama KPYPJ.

Bulan demi bulan, tahun demi tahun, penulis telah lalui pelbagai pahit manis sebagai seorang pekerja. Pernah bertukar Jabatan seperti Kredit & Korporat, melakukan pelbagai kerja didalam dan diluar pejabat. Melalui pelbagai pahit jerih keadaan yang mendatang. Semua pengalaman itu menjadi sesuatu yang bernilai bagi penulis kerana ia menjadikan penulis lebih matang dalam kehidupan.

Antara kenangan manis bekerja di KPYPJ adalah dapat duduk bersama dalam mesyuarat BOD bersama Menteri Besar & Ahli Lembaga Pengarah yang lain walaupun hanya sekadar pemerhati. Kenangan-kenangan lain adalah dapat pergi ke tempat-tempat yang belum pernah dijejaki seperti Taman-Negara Endau Rompin melalui kursus-kursus & bengkel-bengkel yang pernah diikuti.

Dalam manis ada pahitnya. Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah dibaling kabel oleh seorang Pengarah di khalayak ramai. Itupun atas kerja hari Isnin yang diberitahu kepada penulis pada hari Ahad, satu masa yang sangat "panjang" untuk membuat persediaan. Pengalaman pahit lain adalah di herdik atas kerja sukarela yang penulis lakukan, juga dikhalayak ramai.

Semasa di level M, Level M adalah level paling meriah satu ketika dahulu...

Penulis juga pernah melalui saat yang "down" dalam hidup ketika bekerja. Pernah ada "mereka" yang tidak faham dengan situasi penulis ketika bersedih tentang kelahiran Nailah Hana. Pernah juga kehilangan jam & beberapa barang mahal di pejabat (siapa lagi yang ada di pejabat melainkan rakan sekerja...) & pelbagai lagi karenah rakan sekerja. Namun semua itu tidak melemahkan semangat penulis untuk terus bekerja.

Namun begitu, penulis ingin mendedikasikan ucapan terima kasih kepada beberapa rakan seperti rakan karib, Kaff yang telah banyak membantu penulis tidak kira urusan kerja mahupun peribadi. Paling tidak dilupakan membantu penulis menguruskan urusan kereta panulis yang ditarik. Sanggup bersusah payah menghantar penulis kesana-kemari tanpa bersungut. Semoga jasa dan hati murni beliau dibalas Tuhan.

Seterusnya terima kasih juga diucapkan kepada Halim & Farhat, rakan sarapan penulis yang juga banyak membantu dalam urusan kerja. Halim juga pernah membantu menunjukkan jalan ke rumah pengantin di Muar. Tidak lupa juga kepada Anipah & Adik yang menhantar penulis pergi & balik dari J.B-Muar-Ayer Hitam ketika kereta penulis mengalami kemalangan. Tidak lupa Adiem yang menolong menghantar gambar.

Seterusnya terima kasih didedikasikan kepada Kak Asnah, Fiza & Sha yang pernah menghantar penulis pulang jika hari Hujan/ motor rosak. Tidak lupa kepada En. Shahrim, Ustaz Mizi & En. Supaat yang selalu belanja makan dan En. Zahid yang selalu memberi peluang gambar dipaparkan dalam media cetak. Tidak dilupakan Misna yang selalu turun J.B. bersama Anipah untuk meraikan penulis & geng P&P.

Seterusnya terima kasih kepada Kak Nani & Kak Zu yang selalu menghidangkan makanan lazat, kepada Rafi, Angah, Aju, Apai, Boy, Khalid serta team Zapin yang lain. Terima kasih juga kepada pasukan kompang, futsal, PESAYA, JPA3, rumah Simbang, PS2, Blogger-blogger, P&P serta semua kawan-kawan lain di KPYPJ yang tidak disebutkan. Semoga semua bantuan yang kalian berikan akan mendapat balasan Allah.

Kini semua tinggal kenangan...Dulu Hanizam pernah kata, kerusi Unit Komputer memang panas, jarang yang akan kekal lama...

Kini 30 November 2009, penulis akan meninggalkan KPYPJ setelah 5 tahun 8 bulan memberikan khidmat & mencari rezeki. Segala kenangan dan kawan-kawan akan ditinggalkan dan cabaran baru akan digalas. Adat di dunia setiap pertemuan ada perpisahannya dan kadangkala perpisahan itu tidak dapat dielakkan lagi walaupun kita terlalu sayangkan sesuatu perkara.

Akhir kata, peninggalan penulis dari KPYPJ tidaklah bermaksud kita akan terputus hubungan. Semoga hubungan ini dapat diteruskan lagi dan kita tidak melupakan antara satu sama lain. Penulis mendoakan agar semua rakan-rakan akan berjaya dan KPYPJ akan maju pada masa-masa akan datang. Penghijrahan ini adalah satu pengorbanan kerana "Tiada Kejayaaan Tanpa Pengorbanan"....

*p/s- Teruskan berblogging, teruskan bekerja, jangan lupa Reds, jangan lupa NahamPhoto... Slmt tinggal KPYPJ...

Rabu, 11 November 2009

Hari Ini Hari Terakhir...

Familiar with this pic?

Hari ini adalah hari terakhir penulis bekerja di KPYPJ. Setelah ditolak cuti tahunan, berakhirlah khidmat penulis disini secara rasminya. Berbagai-bagai perasan bercampur-baur mengenangkan hari ini terpaksa meninggalkan tempat yang lebih 5 tahun dihuni. Lumrah kehidupan, setiap permulaan ada pengakhirannya.

Dua tiga minggu ini ramai kawan-kawan yang bermurah hati mengajak dan belanja penulis makan. Tidak kira sarapan, makan tengahari mahupun makan malam, ada sahaja yang mengambil peluang makan bersama-sama. Ternyata kawan-kawan di KPYPJ begitu pemurah & baik sekali kepada penulis. Salah satu sebab perasaan ini sedikit pilu.

Semalam, dengan tidak dijangka penulis telah diraikan oleh kawan-kawan satu pejabat di waktu petang. Sedikit jamuan ringan mengiringi majlis ringkas dengan ucapan En. Zahid, En. Shahrim & En. Sa'dullah. Seperti biasa Adik adalah tok dalang dalam majlis ini bersama kawan-kawan di Jabatan Pentadbiran.

Jumaat ini, penulis dijemput lagi untuk majlis perpisahan rasmi peringkat KPYPJ & HQ Club. Jemputan ini adalah acara terakhir yang akan dihadiri penulis di KPYPJ. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua yang telah bersusah payah melaksanakan majlis ini. Hati budi kalian tidak akan penulis lupakan...

*p/s- Akan datang - Ucapan khas penulis untuk semua staf KPYPJ.

Isnin, 2 November 2009

Cenderahati Dari Jepun


Actually bukan dari Jepun (hehe jangan marah) tapi dari pelajar Taka High School, Japan yang datang melawat Kolej Islam Johor & Kolej Komuniti YPJ Johor Bahru, di Johor Bahru tempohari. Ini bukannya lawatan pertama yang dibuat oleh mereka namun sudah beberapa kali melakukan lawatan cuma kali ini bilangannya agak ramai.


Cenderahati yang penulis dapat ini merupakan hasil dari permainan "shun ji" (kalau tak silap la sebutannya) dimana kita menulis sesuatu dalam tulisan rumi di kertas khas dan mereka menulis dalam tulisan ala-ala khat Jepun. Penulis tidak melepaskan peluang dengan meminta mereka menulis nama penulis dalam tulisan Jepun.

Selain itu, penulis juga menulis perkataan "MACROSS" iaitu kartun Jepun kegemaran penulis di atas kertas dan mereka menulisnya dalam tulisan Jepun. Pulang ke rumah, penulis membandingkan tulisan tersebut dengan kotak figurine koleksi penulis. Ternyata tulisannya memang sama 100%. Hebat!

Bila tanya budak Jepun tu tau tak citer "Macross", dia x tau. Tp bila suruh tulis dia tuliskan ini...

Sama kan? Apsal nama "Harris" tu cam complicated tulisannya x macam "Macross" ni? Hehe

Aktiviti sebegini antara keistimewaan apabila bekerja di KPYPJ. Namun tidak lama lagi penulis akan meninggalkannya. Di tempat baru, mungkin perkara sebegini tidak dapat diperolehi lagi, tetapi pengalaman-pengalaman baru akan muncul pula. Kepada pelajar yang memberi cenderahati ni, Arigato!


*p/s - Asuhara : jgn jeles k! Hehe

Jumaat, 30 Oktober 2009

Saat Saat Terakhir, Detik Baru Tiba...

Hari ini (30 Oktober 2009) secara rasminya penulis telah memberi hitam putih kepada organisasi kini (KPYPJ) dengan tempoh 1 bulan. Bekerja selama lebih 5 tahun adalah masa yang sangat bermakna malah sangat berat untuk ditinggalkan. Namun penghijrahan perlu dilakukan jika ia sesuatu yang perlu. Mulai hari ini, hanya tinggal sebulan sahaja penulis akan berkhidmat dengan KPYPJ.


Pada hujung November nanti penulis akan memulakan cabaran sebagai Pengurus ditempat kerja baru di Endau. Tempat kerja baru yang dipanggil CBC ini adalah sebuah pusat broadband untuk penduduk setempat menggunakan internet & latihan mengenai IT. Pusat ini adalah projek dibawah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan diuruskan oleh Digi serta CCMSB.

CBC di daerah mersing hanya ada 2 sahaja iaitu di Endau & Tenggaroh. Ada beberapa CBC yang wujud di seluruh negeri johor terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar. CBC bertujuan untuk merapatkan jurang IT penduduk kampung dengan bandar dengan kemudahan broadband yang disediakan serta latihan-latihan yang akan dijalankan. Satu tanggungjawab yang agak besar juga untuk dipikul.

Selain menguruskan CBC, penulis juga akan menumpukan bisnes fotografi bersama NahamPhoto dengan bantuan ahli-ahli yang berada di sekitar negeri Johor & Pahang. Aktiviti-aktiviti seperti Outing, kursus & bengkel tetap akan berjalan seperti biasa mengikut perancangan yang akan dilakukan. Kepada kawan-kawan semua, doakan agar penulis terus maju jaya dalam apa jua yang dilakukan kelak. Terima kasih semua!

Isnin, 26 Oktober 2009

Mencari Cabaran Baru...

Rumah sewa mulai clear! Kotak2 disebelah kanan tu antara yang terawal dihantar ke Endau.

Seperti yang dijanjikan, penulis akan menceritakan serba sedikit apa yang telah dipostkan dalam entry sebelum ini. Ia akan menggambarkan sedikit situasi yang akan berlaku pada masa akan datang dalam kehidupan penulis dan keluarga. Tanpa berselindung dan berteka-teki lagi, penulis memang akan membuat HIJRAH ke tempat yang lain pada bulan hadapan untuk mencari cabaran baru.

Gambar yang diletakkan dalam entry sebelum ini adalah surat tawaran kerja yang akan berkuatkuasa hujung bulan November ini. Penulis akan memikul cabaran menguruskan sebuah pusat broadband yang dipanggil CBC (akan diceritakan lebih lanjut mengenai CBC ini pada posting-posting akan datang) di Endau Johor iaitu kampung penulis. Selain itu, penulis juga akan lebih menumpukan bisnes bersama NahamPhoto.

NahamPhoto masih bertapak di Johor Bahru k! Ia masih penulis punya priority sebab diwujudkan hasil titik peluh sendiri.

Ini bermakna penulis akan menamatkan perkhidmatan sekarang dan akan berpindah dari Johor Bahru. Walaubagaimanapun, penghijrahan ini tidak bermakna penulis terus meninggalkan J.B. secara keseluruhan. J.B. masih lagi dalam tempat utama bagi NahamPhoto bergerak dan meluaskan lagi pengaruhnya dalam industri fotografi/ grafik. Sekali lagi ditegaskan, NahamPhoto MASIH LAGI beroperasi di J.B.

Sekarang ini, penulis & isteri sudah mula mengemas rumah sewa kami di J.B. Sedikit barang telah selamat dihantar ke Endau dan proses membungkus barang masih lagi berjalan. Setelah dikumpulkan, banyak juga rupanya barang-barang penulis terutamanya koleksi-koleksi peribadi. Secara tak langsung, penulis dapat 'sort' koleksi ini dengan teratur. Disana kami sekeluarga merencanakan untuk membuat rumah sendiri.

Antara barang koleksi yang telah dikumpul dalam box. Rasanya kena beli banyak lagi box camni.

Mengenai kerja di KPYPJ pula, penulis dengan berat hatinya akan menamatkan perkhidmatan disini. Hujung bulan ini penulis akan menghantar notis penamatan perkhidmatan setelah lebih 5 tahun berkhidmat. Semua pengalaman yang diperolehi disini akan cuba digunakan sebaik mungkin untuk tugas yang akan datang. Entry 'khas' mengenai KPYPJ juga akan dibuat oleh penulis nanti. Tunggu...

Rumusannya, penulis & keluarga telah membuat keputusan ini untuk cuba mengubah taraf hidup kami agar lebih baik lagi pada masa-masa mendatang. Walaupun agak sedih untuk meninggalkan JB dan sahabat-sahabat disini, namun demi kebaikan, penghijrahan perlu juga dilakukan. Penulis beruntung kerana zaman sekarang, teknologi tidak akan memutuskan hubungan dengan saudara-mara dan sahabat handal. Insya Allah.

Khamis, 22 Oktober 2009

Benda Yang Di Tunggu Dah Tiba...


Lama juga penulis menunggu benda ni. Banyak juga penulis menulis di status Facebook perkataan "menunggu", "tunggu", "menanti" dan sebagainya. Akhirnya pagi tadi penulis dapat satu email. Apakah benda tu? Rasanya ramai dah dapat menafsir. Tunggu posting akan datang k....

Isnin, 12 Oktober 2009

Selamat Hari Lahir Untuk Diriku...Yang Ke?


Penulis mengharapkan ulangtahun kali ini akan memberikan satu perubahan besar dalam kehidupan seharian. Semoga hidup penulis & keluarga akan lebih berkualiti, bahagia dan paling penting diberkati Tuhan. Penulis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kawan-kawan & saudara mara yang mengucapkan selamat atas diri penulis tidak kira melalui blog ini, facebook, sms atau secara langsung.

Cuma mungkin ucapan biasa perlu diubah sedikit iaitu, "Semoga panjang umur & DIMEWAHKAN rezeki. Renung-renungkanlah...

Khamis, 8 Oktober 2009

Beraya Rumah Mak Bah (Apa Yang Istimewa?)

Burung kelicap antara yang dapat dirakamkan. Boleh dilihat pokok jambu air telah mengeluarkan putiknya...

Aidilfitri masih ada, rumah terbuka disana sini. Tetapi penulis tidak akan bercerita tentang beraya dirumah kawan-kawan atau ke rumah terbuka seperti blog-blog yang lain. Ini kerana jalan ceritanya akan sama iaitu makan hidangan-hidangan lazat, bersembang-sembang, makan kuih, bermaaf-maafan, minum, beri duit raya, makan, minum, makan, itu jelah.

Pada hari raya ke-3 tempohari, penulis telah beraya ke rumah Mak Bah (emak kepada sepupu penulis, Abang Yu) di Kampung Tanjung Gemok, Rompin Pahang. Istimewanya beraya dirumahnya adalah persekitaran rumahnya yang memang penuh dengan 'nature'. Memang sesuai kepada mereka yang minat dalam nature photography.

Gambar kegemaran penulis yang dapat dirakamkan ketika beraya tempohari. Mak Bah memang jenis insan yang sayangkan haiwan.

Bermula dengan landskap yang menarik, pelbagai tumbuhan yang dapat dilihat seperti puluhan pokok Bonzai. Lebih manis lagi jika datang dalam musim buah-buahan. Jambu, mangga dan pelbagai lagi buah-buahan tempatan dapat dijamah. Ditambah lagi dengan kehidupan yang ada disitu seperti burung-burung, kucing & ayam itik peliharaannya.

Jika beraya dirumah Mak Bah, penulis tidak melepaskan peluang merakamkan gambar-gambar menarik disitu. Sama naik dengan Abang Yu yang selalu membakar penulis dengan gambar-gambar menarik beliau. Kadangkala orang lain beraya tetapi kami sibuk dengan butang-butang kamera kami kesana-sini.

Binatang pun sahut 1Malaysia...Bermacam specis ayam & itik makan bersama

Begitulah ringkasnya cerita beraya dirumah Mak Bah. Berjumpa sanak-saudara dihari raya memang menyeronokkan kerana bukan selalu dapat berkumpul sebegitu. Lebih-lebih lagi pada raya tahun ini, penulis dapat berjumpa kembali dengan sepupu penulis yang sudah 11 tahun tidak berjumpa dan penulis berjumpanya di rumah Mak Bah....

Semoga berjumpa lagi di Hari Raya tahun hadapan.

Selasa, 29 September 2009

Hari Raya 2009 Tetap Best!


Sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini disambut sederhana oleh penulis & keluarga. Seperti biasa penulis & isteri tidak berebut-rebut untuk pulang ke kampung siapa dahulu seperti pasangan-pasangan yang lain. Setelah beberapa malam mencari keperluan raya terutamanya untuk anak-anak, akhirnya kami pulang ke kampung halaman (Endau, Johor) pada Khamis malam Jumaat (17 September 2009). Segala persiapan rapi sebelum memulakan perjalanan telah dilakukan lebih awal untuk melancarkan perjalanan kami.

Muaz bermain bunga api sambil diperhatikan oleh sepupu-sepupunya...

Penulis berbuka sambil memandu di Jemaluang ketika perjalanan pulang tersebut. Trafik agak baik pada hari itu kerana mungkin orang-orang lain belum lagi memulakan perjalanan balik ke kampung. Sampai di Lorong 1 (rumah Abah & Emak) , semua adik beradik telah ada berkumpul dirumah. Malam itu, anak-anak buah penulis telah mula bermain bunga api. Memang itulah tradisi sejak dulu lagi. Hari raya kalau tiada suara riang ria kanak-kanak memang tidak meriah. Merekalah yang paling happy sekali.


Kak Ngah dan BBQnya dimalam raya...

Menjelang raya tempohari, penulis banyak membantu keluarga mertua membuat persiapan raya. Penat memang tidak terkata memandangkan berpuasa tetapi membuat kerja sepanjang hari. Membeli barang keperluan, mengemas rumah, malah sempat mengecat rumah. Pada malam raya tersebut, penulis sempat menghantar beberapa hamper kepada orang-orang kampung hasil pemberian bapa mertua penulis (memandangkan dia Ketua Kampung dan ahli JKKK).

Adik ketika beraya di rumah Tok Jan dia di Kampung Teriang

Pada hari raya pertama, penulis bersembahyang raya di Masjid Kampung Teriang kemudian ke rumah Abah di Lorong 1 untuk kenduri tahlil. Selepas itu ke rumah mertua pula untuk bertakbir & sesi bermaaf-maafan seperti kebiasaannya. Penulis pergi beraya di sekitar Kampung isteri pada hari raya pertama tersebut. Pada malam hari barulah penulis sekeluarga balik semula ke Lorong 1 untuk beraya. Ramai juga sedara mara yang datang kerumah pada malam tersebut.



Pada pagi hari raya kedua, kami ke tanah perkuburan Tanjung Gemok. Ini adalah acara tahunan yang wajib. Penulis melawat kubur arwah Tok Ayah, Mak Tok, Mak Busu & atuk2 saudara yang lain. Pulang dari melawat kubur, penulis beraya ke rumah-rumah bapa saudara di Tanjung Gemok, Rompin Pahang. Penulis lebih banyak merakam video pada raya kali ini kerana tidak sempat berkarya dengan kamera. Mungkin kerana kepenatan & kesibukan melayan kerenah anak yang agak ekstrem.

Dari kiri : Pokde, Mak Bah, Abg Yu & Mak ketika beraya di Lorong 1

Hari raya seterusnya, penulis banyak melawat rumah-rumah saudara di Mersing, Kuala Rompin & Muadzam Shah serta bersama-sama dengan sepupu-sepupu bermain PS2 pada sebelah malam. Begitulah raya tahun ini, walaupun sederhana tapi tetap meriah dengan berkumpulnya sanak saudara. Itu antara keistimewaan raya bagi penulis apabila dapat berkumpul beramai-ramai apatah lagi mereka-mereka yang jarang dapat bertemu. Hubungan kekeluargaan ini memang penulis jaga sejak dari dulu.

Walaupun 10 hari telah berlalu, namun kemeriahan raya masih lagi dapat dirasakan. Selepas ini sudah pasti banyak 'open house' akan diumumkan malah penulis & rakan-rakan sudah membuat perancangan untuk beraya sekitar J.B. pada hujung minggu ini. Akhir kata, walaupun kita bersuka ria, jangan pula kita lupa dengan orang yang masih susah, tiada ibubapa atau yang diperantauan. Selamat hari raya Aidilfitri saya ucapkan pada mereka-mereka ini. Semoga hari raya ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim kita.

Khamis, 17 September 2009

Selamat Beraya Semua...


Setelah hampir sebulan berpuasa, kini akan tiba hari yang bahagia dimana kita akan berkumpul bersama sanak-saudara, bermaaf-maafan serta kunjung-mengunjungi. Di kesempatan ini, penulis ingin menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog ini, kawan-kawan, saudara-mara serta sesiapa sahaja yang mengenali diri penulis.

Penulis juga ingin memohon maaf zahir & batin sekiranya selama ini penulisan blog ini ada menyinggung mana-mana pihak atau perbuatan, perkataan penulis ada salah silapnya. Maafkan penulis. Semoga hari raya tahun ini akan menjadi hari yang sangat bahagia kepada semua. Kepada yang memandu, harap berhati-hati supaya selamat sampai ke destinasi yang hendak ditujui.

Jika berkesempatan, datanglah beraya dikampung penulis di Endau, Johor kerana penulis akan beraya disana selama seminggu. Jemputlah datang agar hubungan kita akan lebih erat dan mesra. Akhir kata, semoga semua pembaca blog Mencipta Memori ini akan terus ceria di hari raya. Teruskan berblogging untuk masa-masa akan datang! Tunggu entry gambar-gambar raya pula...

Jumaat, 11 September 2009

Pahit Getir Untuk Berjaya...

Semua orang impikan kejayaan & kekayaan...(sekadar gambar hiasan)

Kejayaan adalah impian setiap insan. Siapa yang tidak inginkan kejayaan? Namun kejayaan itu tidaklah semudah menekan suis lampu. Sekali tekan, lampu terus menyala. Dalam ingin mencapai kejayaan, pelbagai usaha & pengorbanan diperlukan.

Setiap kehidupan adalah seperti kita memanjat tangga untuk sampai ke puncak kejayaan. Semakin tinggi kita naik, semakin tinggi risiko kita untuk jatuh. Semakin tinggi kedudukan kita, semakin dasyat impak jika kita jatuh menyembah bumi.

Kadangkala, kita baru sahaja berada ditengah tangga. Dah ada orang dibawah menarik-narik kaki kita. Belum pun sampai kemana, kita sudah mempunyai musuh yang ingin menjatuhkan kita. Jika kita sudah sampai ke puncak, bagaimana pula halangannya?


Kenapa orang kita selalu cemburu dengan bangsa mereka sendiri? (Sekadar gambar hiasan)

Hari ini sudah masuk minggu terakhir kita berpuasa, cepat sungguh masa berlalu. Hari berganti hari, tahun berganti tahun, adakah kita sudah mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup? Tanya diri sendiri. Nukilan di atas adalah tulisan penulis sendiri secara spontan apabila terkenangkan yang penulis masih belum mencapai kejayaan dalam hidup buat masa ini.

Pengalaman penulis, sudah banyak pahit getir yang telah dilalui sejak beberapa tahun ini. Setelah berkeluarga & mempunyai kerjaya, penulis telah berusaha pelbagai cara untuk memajukan diri. Ramai rakan-rakan mengatakan yang penulis sudah berjaya terutamanya dalam bisnes fotografi. Malangnya penulis tidak merasakan begitu kerana perjalanan ini masih jauh.

Sesungguhnya taraf hidup masa kini sangat tinggi. Lebih-lebih lagi apabila tinggal dibandar besar. Dengan kerja yang sediada, belum tentu dapat menjamin kehidupan yang sempurna. Usaha-usaha lain seperti perniagaan adalah salah satu cara yang boleh kita buat untuk menjadi nilai tambah pendapatan kita. Itu adalah salah satu cabaran yang perlu ditangani oleh 'segelintir' masyarakat kita.

Dalam kehidupan seharian penulis pula, pelbagai jenis manusia yang ada disekeliling. Ada yang betul-betul jujur, ada yang tikam dari belakang, ada yang tidak boleh lihat penulis senang, ada yang talam dua muka, ada yang bongkak serta ego dan pelbagai lagi. Untuk melayan karenah manusia sahaja, sudah cukup untuk meletupkan otak yang ada dalam tengkorak kepala ini.

Namun semua itu dugaan dan apa yang diperlukan adalah usaha & pengorbanan kita untuk berubah. Tidak lama lagi, penulis akan membuat satu keputusan yang besar dalam hidup untuk merubah nasib sekeluarga. Satu keputusan yang agak sukar ditelan dan agak sayang untuk dibuang. Untuk berjaya, semestinya kita harus membuat satu PENGORBANAN yang besar. Wallahualam.

Rabu, 26 Ogos 2009

Blogger Atau Facebook?


Ramai orang bertanya kepada penulis, "Apa yang saya perlu pilih antara terus berblogging atau bertukar kepada Facebook (FB)?". Semua orang tahu kini FB merupakan aplikasi yang sangat popular dan ramai sudah menggunakannya. Tetapi ada yang sayang meninggalkan dunia blog mereka yang lama telah dihidupkan. Disini saya berikan sedikit tips kepada yang masih baru atau lama dalam dunia blog dan yang baru berkecimpung dalam FB.

Jika jawapan penulis, penulis akan kata KEDUA-DUANYA. Ini kerana blog umpama rumah atau kedai anda. Jika anda selalu menulis mengenai perihal peribadi maka anggaplah blog anda adalah rumah anda. Jika anda menjual produk atau servis, anggaplah ia sebagai kedai anda. Anda selalunya akan berusaha menaikkan trafik blog anda dengan pelbagai cara seperti memberitahu kepada rakan, email atau iklan di laman web lain.

FB pila ibarat lebuhraya yang anda bina dihadapan rumah/ kedai anda. Jika lebuhraya yang dibina, ia bermakna trafik anda seharusnya sesak dengan ramai pengguna dan mereka akan singgah ke rumah/ kedai anda. Begitulah perumpamaannya. FB dibina dengan konsep anda boleh melihat status rakan-rakan anda dari masa kesemasa dan semestinya jika anda mempunyai ramai rakan, mereka akan mengetahui kewujudan blog anda.

Dalam FB, pelbagai fungsi yang boleh digunakan untuk mempromosikan blog anda selain daripada anda menaip URL di ruangan maklumat. Ia termasuklah;

1) Status yang mempunyai pautan ke posting blog anda


Status dalam FB selalu digunakan untuk menyatakan apa yang anda sedang lakukan atau perasaan anda tetapi ia bukan hanya untuk tujuan itu sahaja. Jika anda selesai menaip sesuatu posting dalam blog anda, anda boleh meletakkan URL posting anda didalam status FB anda. Ini secara tidak langsung akan memberitahu rakan-rakan anda mengenai blog anda. Lakukannya pada waktu ramai rakan anda yang sedang online ketika itu.



2) Membuat kumpulan (group) atau halaman (page)


Dalam FB, ada satu fungsi yang membolehkan anda membuat group atau page untuk sesuatu perkara atau tujuan. Contohnya anda mempunyai blog barang-barang antik dan anda membuat group peminat barang-barang antik di FB. Jemput rakan atau sesiapa sahaja untuk menyertai group tersebut. Galakkan mereka masuk blog anda untuk mengetahui info-info yang lebih detail.

FB juga mempunyai banyak lagi fungsi lain yang membolehkan anda menarik perhatian rakan-rakan atau network anda untuk ke laman blog anda. Cari rakan-rakan anda setiap hari melalui email atau carian yang disediakan. Upload gambar lama rakan-rakan anda dan TAG nama mereka agar mereka alert dan masuk ke FB anda. Secara tidak langsung trafik FB anda akan sesak dan ia memudahkan anda membuat promosi.

Oleh itu, jangan tinggalkan blog (rumah/ kedai) anda & hanya menggunakan FB. sahaja Ia ibarat anda menaiki kereta dan berhenti disetiap perhentian lebuhraya untuk bertemu rakan-rakan anda. Gunakan kedua-duanya dengan baik kerana penulis percaya walau apa jua perkara yang anda lakukan dengan baik maka insya Allah akan baik juga hasilnya. Wallahualam.

*p/s- FB bukan hanya untuk bermain MW atau FV yea! Atau menghantar benda yang tidak boleh dipegang...hehe...

Khamis, 20 Ogos 2009

Selamat Datang Ramadhan...

Semoga kita terus ceria di bulan puasa...

Beberapa hari lagi, umat islam akan menyambut bulan mulia iaitu bulan puasa. Sudah pastinya, dibulan ramadhan ini, penulis selalu bertekad untuk memperbanyakkan lagi ibadah kepada Allah Taala. Memohon untuk mengampunkan semua dosa-dosa lalu dan meneruskan hidup dengan penuh keredhaan. Harapan agar semua umat islam turut mempunyai impian yang sama.

Dikesempatan ini, penulis memohon maaf kepada keluarga, sahabat-sahabat, pembaca-pembaca dan semua yang mengenali diri penulis agar bulan ramadhan ini akan dilalui dengan lebih tenang. Bagi penulis, kita perlu memaafkan orang lain supaya tiada lagi dendam atau perasaan yang tidak baik tumbuh didalam hati. Selamat menyambut bulan ramadhan, bulan mulia...

*p/s- Insya Allah bulan puasa ini tidak akan membantutkan posting di dalam blog ini.

Selasa, 11 Ogos 2009

Apa Kebendanya?

Selama 4 tahun penulis mengambil gambar perkahwinan, pelbagai adat & cara yang sudah penulis lihat. Dari jawa, bugis, melayu, miskin, kaya semua ada cara masing-masing. Kalau pembaca masih ingat lagi dulu penulis pernah menulis bagaimana satu majlis itu memasak nasi minyak menggunakan 'satelit'. Pelik kan?

Baru-baru ini penulis mengikut rakan penulis iaitu En. Thaha (Ilhampictures) untuk mengambil gambar malam berinai satu pasangan di Bandar Selesa Jaya, Skudai. Dah nama malam berinai, majlis dibuat waktu malam tetapi tidak sama dengan majlis-majlis yang pernah penulis lalui sebelum ini.


Pengantin lelaki telah berarak dan dikompangkan di malam hari (pengalaman ini penulis pernah lalui sekali sebelum ini) sehingga sampai ke dalam rumah. Mereka disandingkan diatas pelamin & dilakukan beberapa 'ritual' yang sedikit familiar. Kompang terus dipalu memecahkan kesunyian malam itu.

Apa yang memelikkan, penulis melihat satu persembahan yang agak unik & tidak pernah dilihat sebelum ini. Pasukan kompang tadi duduk diberanda rumah dan berkompang serta menyanyi dalam bahasa arab. kelihatan beberapa orang kanak-kanak lelaki & perempuan menyahut nyayian tersebut berselang-selang.


Apabila diperhatikan dengan teliti, rupanya mereka seolah-oleh 'berzanji' dengan satu kitab yang penulis rasa memang surah berzanji. Mereka membacanya sambil berkompang dan diselangi dengan sahutan kanak-kanak tadi. Bermula dari duduk sampailah kanak-kanak tu berdiri menyanyi sambil menggayakan sedikit gaya tarian ala-ala zapin.

Penulis cuba juga bertanya tetapi tidak dapat jawapan apakan jenis persembahan itu. Apa yang penulis tahu ia berasal dari Pontian (kalau tak salah la). SIAPA TAHU APAKAH IA? Bacaan mereka berlanjutan kira-kira lebih 2 jam berkompang tanpa henti. Begitu mengujakan.... Tak penat ke cik? dik?


Apa yang pasti penulis lihat kesukaran Thaha hendak memberi arahan-rahan pose dengan pengantin kerana suasana yang bingit. Sedangkan penulis sendiri pun terpaksa menjerit-jerit bila bercakap dengannya. Seksa kalau semua majlis kahwin camni.

*p/s- thanks to Shahrul sebab tunjukkan rumah pengantin. Sempat juga minum ngan bersembang dengan kawan lama ni.

Rabu, 5 Ogos 2009

Berguru Menuntut Ilmu...

Gambar oleh Ivin

Dulu-dulu, bila baca kat paper, dengar nama Ted Adnan ni, penulis bayangkan orangnya berkarisma, bergaya sambil memegang kamera. Penuh dedikasi memberikan arahan kepada model-modelnya. Namanya memang terkenal sebagai jurugambar professional di Malaysia mahupun luar negara.

Hujung minggu yang lalu, penulis berpeluang belajar bersama dengan Ted Adnan yang turun ke Johor Bahru. Ternyata bayangan penulis meleset sama sekali. Saudara Ted Adnan adalah seorang yang sempoi, baik hati & kelakar. Namun ilmunya begitu dalam & pengalamannya begitu luas.

Gambar oleh Bakhtiar

Melalui bengkel ini, penulis dapat mendalami ilmu pencahayaan dalam fotografi & tip-tip dalam pengendalian peralatan pencahayaan. Terima kasih diucapkan kepada Ted Adnan kerana memberikan tunjuk ajar kepada penulis & peserta-peserta yang lain. Nampaknya penulis sudah mengikut kata-kata Dr. Azizan untuk kita mencari seorang mentor.

Harapan penulis, banyak lagi kursus-kursus atau bengkel-bengkel yang penulis dapat hadiri pada masa-masa akan datang demi untuk memantapkan diri dalam bidang ini. Ini kerana ilmu sangat penting dan ia perlu dicari kerana ilmu tidak datang bergolek didepan mata kita.

Gambar-gambar lain boleh dilihat DISINI & DISINI

Selasa, 28 Julai 2009

Anda Ada Potensi Tersendiri!


Dulu bila penulis lihat iklan di TV, "Bengkel Mengenali Diri Melalui Tarikh Lahir", terdetik dalam hati, "ada juga orang buat bisnes camni...". "Dengan memberitahu nombor-nombor dalam tarikh lahir pun boleh buat bengkel...". Itulah antara kata hati penulis. Bila baca surat khabar pula, masih jumpa iklan yang sama. "Bengkel camni pun boleh masuk paper...apa yang special sangat?". "Kursus fotografi aku pun tak dapat nak masuk paper...", itulah kata hati penulis lagi.

Beberapa minggu yang lepas, Kaff telah menawarkan tiket percuma untuk ke Seminar Mengenal Potensi Diri Melalui Tarikh Lahir oleh Dr. Azizan ini. Kalau dilihat kembali, bayaran asal bengkel ini mencecah ribuan, namun kali ini percuma dan hanya perlu membayar RM30 untuk pengurusan. Berat juga hati untuk pergi dan penulis mengatakan kepada Kaff yang penulis sudahpun mengenal potensi sebenar diri penulis. Namun atas pujukan, penulis pergi juga untuk mengetahui apa yang hebatnya tentang seminar ini.

Hadirnya penulis ke UTM tempat berlangsungnya seminar ini, seolah-olah satu fenomena telah berlaku. Jalan ke UTM telah sesak secara ekstrem. Bila sampai ke dewan utama, orang ramai memenuhi disegenap ruang. Memang ramai dengan orang disana-sini malah lebih ramai daripada suasana konvokesyen graduan-graduan. Apa istimewanya Dr. Azizan ini sehingga orang sanggup berpusu-pusu datang? Sekali lagi persoalan timbul dalam benak fikiran penulis.

Masuk sahaja di dalam dewan, satu perubahan telah berlaku...Sebenarnya ia bukannya mengenai tarikh lahir semata-mata tetapi ia mengenai potensi diri sendiri. Penyampaian oleh Dr. Azizan memang hebat dengan perkara-perkara yang belum pernah dipelajari sebelum ini. Kaedahnya mungkin sama dengan bengkel motivasi yang lain namun pengisiannya amat mantap. Ia sama sekali dapat mengubah diri & kehidupan kepada satu tahap yang sukar diduga.

Tidak perlulah penulis nyatakan semua yang disampaikan pada hari itu. Apa yang boleh penulis katakan, RM30 yang dibayar pada hari itu jauh lebih besar dari nilai ilmu yang disampaikan dan memang sangat-sangat berbaloi waktu tidur atau memancing anda pada hari itu digantikan dengan seminar ini. Sesiapa yang tidak mengambil peluang pada hari itu sememangnya sangat rugi. Ia memang dapat mengubah minda anda keluar dari takuk yang lama.

MINDA, MENTOR, FOKUS adalah antara isi utama seminar ini. Insya Allah jika tidak ada aral melintang, penulis akan menghadiri seminar seterusnya iaitu Kekayaan & Kejayaan. Perubahan dalam hidup bermula dari diri kita sendiri dan kita perlu mulakan sekarang! Tidakkah anda mahu menjadi seorang yang hebat sehinggakan anda dapat menentukan tempat parking anda di shopping complex apabila anda dirumah lagi? Renung-renungkanlah....

Boleh baca cerita seumpamanya DISINI & DISINI.

Ahad, 19 Julai 2009

Karnival Futsal i-Metro Zon Selatan Meriah!


Ini bukan kali pertama penulis bermain futsal tetapi ini adalah pengalaman pertama menyertai pertandingan yang mencatat rekod dalam Malaysia Book Of Record atas penganjuran terbesarnya. Karnival yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini telah berlangsung di Sport Prima. Johor Bahru Johor.

Mengikut laporan akhbar, seramai lebih kurang 10,000 pengunjung telah datang memeriahkan acara ini. Ia disertai oleh pasukan dari zon selatan terutamanya Johor, Melaka & Negeri Sembilan. Disini penulis coretkan sedikit laporan walaupun sebenarnya penulis agak sibuk dengan kerja-kerja yang lain.


Penulis bersama rakan sepasukan yang lain (Naham FC) telah mula bermain pada jumaat malam sabtu yang sebenarnya bukan seperti jadual asal. Naham FC telah diundi dalam kumpulan 29 bersama pasukan Benteng FC & D-Lurah FC. Sebanyak 90 pasukan telah bertanding pada malam itu sahaja dan 100 lagi pada esok paginya.

Walaupun pasukan Naham FC telah menang kedua-dua perlawanan dalam peringkat kumpulan, namun telah tewas ditangan pasukan BSN FC diperingkat kalah mati. Namun kalah menang bukan ukuran, yang penting kami dapat memberi saingan terbaik pada malam itu. BSN FC memang lengkap dari segi skill & fizikal.


Walaupun penat kerana tamat pada jam 1 pagi, penulis tetap gembira dengan karnival ini dan akan mencubanya pada tahun-tahun akan datang, insya Allah. Seperti biasa, penganjuran sebesar ini akan memberikan kenangan yang menarik. Goodies yang diterima memang best! Jumpa di karnival tahun hadapan!


Gambar-gambar lain boleh dilihat di FACEBOOK penulis.

Majulah sukan untuk negara!

Jumaat, 10 Julai 2009

Na'wa Bersukan!


Ahad 5 Julai yang lalu, penulis sekeluarga telah ke Kompleks Sukan Nusa Mutiara untuk memberi sokongan kepada Na'wa yang menyertai sukan Tadika Hikmah YPJ ke 11. Acara tahunan ini disertai oleh 5 tadika hikmah YPJ dan dirasmikan oleh Ketua Pengawai Eksekutif KPYPJ, Dr. Sa'ari Md. Nooh.

Ramai juga ibu-bapa yang hadir...

Gelagat kanak-kanak cilik...cam-cam cikgu dia suruh jadi yek... :)

Na'wa salam CEO

Kak Im memberikan tips-tips terakhir untuk anaknya...

Inikah bakal pengganti Nordin Jadi?

Na'wa telah menyertai 1 acara iaitu mencari barang dimana tugasannya mencari buah anggur. Walaupun dia berjaya mencari 2 anggur tersebut tetapi tewas kerana menunggu kawannya yang masih mencari-cari barangnya. Takpe Na'wa, tahun depan cuba lagi! Pastikan menang dan tak perlu tunggu-tunggu kawan. :)

Na'wa sedang beraksi! Nampak tak 2 anggur yang perlu dicari?

Nangis lak nak mandi swimming pool... Tengok adik tu! Muka cool jer...

Apa yang menarik tetang sukan ini, selain anak-anak bergembira bersama kawan-kawannya, ibu-bapa juga turut gembira melihat telatah anak masing-masing serta dapat bermesra sesama ibu-bapa yang lain. Ia dimeriahkan lagi dengan acara yang melibatkan ibu-bapa setelah anak masing-masing selesai beraksi.

Berreta & Shamshul yang bersama-sama menembak hari tu...

Tadika Tampoi Utama Juara! Cuba cari mana Na'wa?

Majlis tamat pada jam 12.45 tengahari dan disambut dengan hujan renyai. Tadika Hikmah YPJ Na'wa iaitu cawangan Tampoi Utama telah menjadi johan keseluruhan. Tahniah kepada Na'wa, kawan-kawan dan cikgu-cikgu. Akhirnya berbaloi juga ayah belikan kasut baru untuk Na'wa. Semoga boleh jadi atlit macam ayah.