Khamis, 31 Disember 2009

Masa Pantas Berlalu...

Rasanya masa setahun tu berlalu dengan pantas. Beberapa jam lagi kita akan melangkah ke tahun baru dan yang pastinya ini adalah posting terakhir bagi tahun 2009. 1-2 hari ni penulis banyak membaca blog-blog yang lain atau status FB yang menceritakan azam tahun baru, kenangan tahun ini dan pelbagai lagi. Dalam kesibukan tugas, penulis coretkan juga sedikit berkenaan tahun yang akan kita tinggalkan ini.

Seperti biasa penulis juga telah memasang azam 2009 iaitu meningkatkan lagi usaha dalam bisnes & kerjaya. Pelbagai perancangan & strategi telah dilakukan sebelum tiba tahun baru. Semangat bekerja keras pula ditanamkan lagi agar dapat memenuhi perancangan yang telah diatur. Ini kerana penulis sahaja yang menanggung keluarga yang semakin besar, maka sesuatu harus dilakukan dizaman yang penuh mencabar ini.

Jika setahun yang lalu, penulis menyambut tahun baru dengan makan bersama Kaff & Artakus. Tiada apa yang menarik cuma makan-makan biasa sahaja. Namun selepas itu, penulis dapat rasakan, tahun 2009 penuh dengan pahit manisnya yang tersendiri. Pelbagai peristiwa suka duka telah dilalui. Banyak perkara telah dilakukan samada berjaya atau tidak dalam masa 365 hari tersebut. Bila diimbas kembali, memang sukar dipercayai.

Antara rentetan peristiwa yang diingati adalah melayan karenah Na'wa yang tangan bersimen akibat terjatuh di Plaza Angsana. Melihat Na'wa bersekolah buat kali pertama. Melawat nenek yan sakit di hospital Kuantan. Meraikan majlis perkahwinan Angah di Kuala Lumpur. Bercuti bersama keluarga di Melaka. Diherdik dikyalayak ramai semasa bertugas. Berhenti kerja setelah 6 tahun & akhirnya pulang semula ke kampung.

Diatas adalah antara peristiwa-peristiwa peribadi yang penulis lalui, belum lagi disenaraikan dalam urusan kerja dan bisnes. Walaubagaimana susah sekali pun, penulis dapat laluinya dengan baik dan alhamdulillah hampir semua telah berjaya. Penulis juga berterima kasih kerana disekeliling ramai rakan & keluarga yang memberi sokongan kepada penulis. Pengalaman itu memang mendewasakan seseorang insan dalam melalui kehidupannya.

Akhir kata, penulis harapkan agar anda semua berjaya memenuhi azam tahun ini dan seterusnya berusaha melaksanakan azam tahun hadapan. Kepada yang kurang berjaya, cuba lagi perbaiki pada tahun hadapan. Jangan biarkan ia membelengui hidup anda. Walau apapun azam anda, pastikan ianya memberikan hasil yang baik kepada diri anda, bangsa & agama. Selamat menyambut tahun baru 2010!

*p/s - posting yang akan datang, penulis akan paparkan statistik apa yang telah penulis lakukan sepanjang tahun ini. Insya Allah...

Isnin, 7 Disember 2009

Kenapa Dah Lama Tak Update Blog?

Warggghhh!!! Banyaknya sawang kat blog mencipta memori ni!!! Anai-anai, tikus semuanya ada. Ya...akhir-akhirnya penulis sangat sibuk dengan tugas baru & urusan pindah rumah. Semasa blog ini ditaip pun, hanya curi-curi masa dengan mata yang kepenatan, tetapi tetap teruja ingin meneruskan lagi arena blogging ni. Insya Allah, dari masa ke semasa, blog ini akan tetap penuh dengan pengisiannya.

Disini penulis ringkaskan sedikit, apa aktiviti yang telah penulis lakukan sepanjang blog ini tidak dikemaskini. Terlalu banyak program yang dilalui sehinggakan tidak sempat untuk berkongsi dengan pembaca semua. Kepala pun agak serabut sebab nak buat itu dan ini tetapi alhamdulillah semuanya bergantung kepada perancangan kita sendiri. Bijak merancang bijaklah haslnya. Insya Allah.

Bertemu dengan kawan-kawan lama antara yang paling seronok pulang ke kampung...

Minggu sibuk penulis bermula pada suatu hari rabu dimana penulis ke Perjumpaan Jurufoto Johor di UTM pada sebelah malam. Perjumpaan tahunan ini adalah kali kedua dimana kali ini kehadirannya tidak seramai perjumpaan pertama. Ramai muka-muka baru yang hadir & antara penyampai malam itu adalah saudara Roslee dari CST production yang menerangkan tentang video DSLR.

Roslee menerangkan tentang video DSLR. Nampak macam menarik dan terasa ingin mencuba...

Hanya sampai separuh program, dalam jam 10.30 malam penulis dengan keluarga bergerak pulang ke Endau malam itu juga dan itu adalah kali terakhir anak-anak penulis keluar dari rumah sewa di Johor Bahru. Perlu pulang segera kerana pada pagi keesokan harinya penulis perlu menaiki bas ke Kuala Lumpur untuk menyertai kursus induksi bersama CCMSB selama 3 hari 2 malam.

Kawan-kawan baru dari CBC dibawah DIGI & CCMSB semasa makan di Kenny Rogers IOI Mall Puchong...

Antara gambar yang sempat dirakan semasa menunggu bas pulang ke Endau dari Puduraya...

Pulang dari Kula Lumpur penulis terus memulakan kerja untuk hari pertama. Seminggu selepas itu, penulis bergerak ke Johor Bahru untuk mengangkat barang-barang yang tinggal dengan menggunakan lori. Sehari suntuk penulis menguruskannya, menguruskan urusan gaji, album pelanggan dan lain-lain hal dari pagi hinggalah ke malam. Namun saat yang paling menyedihkan apabila melihat rumah sewa itu untuk kali terakhir.

Dapatlah bersama mereka ini di petang hari raya haji. Walaupun sekejap tetapi tetap meriah...

Sampai sahaja di Endau, bersambung pula untuk sesi mengemas dirumah baru pula. Acara susun menyusun, kemas-mengemas tak habis-habis sampai sekarang. Seterusnya penulis menghadiri mesyuarat untuk pelancaran CBC Teriang Besar. Nampaknya selepas ini penulis akan semakin dan semakin sibuk lagi dengan urusan pelancaran yang akan dijangkakan pada pertengahan Januari.

Begitulah secara ringkasnya apa yang terjadi kepada penulis dalam masa 3 minggu ini. Masa yang panjang itu terasa sungguh pantas berlalu. Alhamdulillah setakat ini penulis masih mampu membahagikan masa antara kerja, keluarga & kawan-kawan. Akan datang cabaran semakin mencabar dengan beberapa pengantin sudah menunggu untuk gambar mereka dirakam. Semoga penulis terus mampu menghadapi apa jua yang datang!

*p/s- semasa entry ini ditaip, penulis mendapat berita sedih kematian baby didalam perut salah seorang sepupu rapat penulis di KL. Takziah untuk mereka sekeluarga...