Selasa, 20 Disember 2011

Workshop Jutawan Internet Irfan Khairi : Langkah Serius Bisnes Internet


Setelah menyertai beberapa siri seminar, tour dan sesi berkenaan perniagaan internet bersama Irfan Khairi sepanjang tahun ini, penulis mengambil langkah seterusnya dengan menyertai Workshop Jutawan Internet yang dianjurkan oleh Irfan Khairi Sdn. Bhd. Bengkel kali ini lebih fokus dengan hanya dihadkan seramai 9 orang sahaja dan menumpukan strategi menjalankan perniagaan internet dengan lebih baik mengikut pengalaman Irfan Khairi sendiri. Bermula dengan membaca buku tulisan beliau, penulis terus berminat menceburi bidang usahawan internet ini dengan menyertai bengkel yang lebih intensif.

Bengkel ini telah dijalankan di IKSB Mutiara Damansara dari jam 9 paging hingga 6 petang yang penuh dengan pengisian berguna serta input penting cara bagaimana memulakan perniagaan internet. Semua peserta yang hadir sangat teruja untuk menjalankan perniagaan masing-masing dengan pelbagai persoalan serta perbincangan dilakukan sebagai persediaan merancang strategi yang betul. Irfan Khairi telah memberikan segala pengalaman lebih 10 tahun beliau dalam menjalankan perniagaan internet dan dipersembahkan dalam bentuk yang lebih tersusun dalam nota beliau untuk diikuti oleh semua peserta.


Rumusannya, penulis sangat berpuashati dengan bengkel ini dimana banyak idea dan strategi telah muncul untuk terus bersaing menjadi usahawan internet yang berjaya. Langkah seterusnya adalah melaksanakan semua perancangan yang telah disusun itu agar ia tidak menjadi sia-sia. Semoga tahun 2012 ini akan memberi makna kepada penulis terutamanya untuk meningkatkan lagi perniagaan NahamPhoto, LoveThatShawl dan juga bisnes-bisnes yang lain. Diharap pelaburan ilmu yang dikeluarkan ini akan mengubah cara kerja dan hasil yang lebih baik serta dibantu dengan persekitaran yang lebih positif. Mudah-mudahan.

Isnin, 12 Disember 2011

Filem Unik Dari Thailand. Bila Malaysia Boleh Buat Filem Cinta Sebegini?


Penulis bukanlah seorang yang meminati drama ataupun filem. Apatah lagi kaki tengok wayang bila keluar cerita-cerita yang dikatakan hebat. Cuma sekali sekala penulis ikut juga rakan-rakan yang mengajak menonton di pawagam. Antara filem yang penulis suka adalah filem aksi dan filem-filem yang berasaskan kartun-kartun dizaman kanak-kanak seperti Transformers. Dirumah pula, penulis bukan juga seorang yang terlalu obses menonton televisyen. Sudah tentunya penulis banyak menghabiskan masa mengadap komputer dan kerja.

Sekarang ini mungkin kecoh dengan filem Ombak Rindu dengan dimana-mana sahaja memperkatakan tentang filem ini tak kira di status Facebook atau blog. Penulis tidak langsung tergerak hati untuk menonton bukan kerana tidak menyokong industri filem tempatan tetapi tidak berapa minat dengan kisah cinta yang dipaparkan. Pada satu hari penulis secara tidak sengaja menonton satu filem dari Thailand (Astro Box Office) dan tiba-tiba penulis rasa ada sesuatu yang istimewa dengan jalan cerita & emosi yang cuba disampaikan.

Filem yang penulis maksudkan adalah "Hello Stranger" yang dikeluarkan hujung tahun 2010. Ia mengisahkan 2 orang warga Thai (seorang lelaki & seorang perempuan) yang melancong berasingan telah bertemu di Korea. Mereka telah bertemu dan melancong bersama secara tidak sengaja dalam beberapa hari. Dalam masa yang singkat itu mereka bersama telah banyak melalui saat-saat yang unik sehinggakan ada satu perasaan cinta walaupun masing-masing sudah mempunyai pasangan di Thailand.

Filem ini banyak menciptakan babak-babak romantik yang unik dan digarap dengan baik untuk memainkan emosi penonton. Walaupun filem ini bukan filem aksi namun penulis merasakan ada sesuatu yang istimewa yang menjadikan ia satu cerita yang berkualiti. Selain babak-babak yang unik, skrip-skrip yang digunakan pula sangat membangkitkan pelbagai emosi seperti lucu, sedih & cinta. Satu lagi yang unik dalam cerita ini adalah watak-watak utama tidak tahu nama masing-masing malah penonton sendiri pun tidak mengetahuinya.

Jadi apakah kesudahan filem ini? Anda boleh cari di dalam google atau di kedai-kedai DVD. Walaupun penulis masih tidak menonton filem Ombak Rindu tetapi penulis berani mengatakan filem ini adalah antara filem terbaik Thailand. Namun itu hanya pendapat penulis dan lain orang mungkin lain citarasanya. Anda juga boleh baca pendapat-pendapat penonton yang lain seperti di http://alicechensworld.blogspot.com/2011/11/download-thai-movie-hello-stranger.html. Hmm...penulis tak pandai sangat mengulas filem... :)

Khamis, 8 Disember 2011

Pak Ali Bubur Kacang


Tahun 50-an disebuah pekan kecil dalam satu daerah negeri Johor, seorang lelaki bangkit dan gigih membuat persiapan mencari rezeki. Lelaki separuh usia ini selalu dipanggil dengan panggilan Pak Ali. Pak Ali mempunyai isteri dan seorang anak lelaki. Beliau juga sudah mempunyai beberapa orang cucu yang tinggal bersama dengan beliau. Begitulah sedikit latar belakang mengenai seorang insan yang bernama Pak Ali.

Setiap pagi Pak Ali akan bersiap untuk keluar berniaga. Apa yang diniagakan? Bubur kacang, itulah perniagaan Pak Ali. Dengan usia yang sudah memasuki usia emas, Pak Ali masih kuat mengayuh basikal untuk berniaga disekitar pekan. Sudah lama Pak Ali berniaga bubur kacang sehingga orang-orang tempatan sudah biasa dan mengenali beliau. Begitulah gigihnya Pak Ali menyara keluarga dengan berniaga cara sendiri.

Pulang dari berniaga, Pak Ali berehat di teratak kecilnya untuk menghilangkan penat. Kepenatan berniaga hilang sebentar apabila disambut dengan hilai tawa cucu-cucunya. Itulah permata hati Pak Ali yang ada dalam hidupnya hasil perkahwinan anak tunggal beliau. Apabila pulang berniaga, cucu-cucunya akan mengira hasil jualan bubur kacang. Kadang-kala dia memperolehi 2 ringgit satu hari, kadang-kadang 4 ringgit dan paling banyak pun 7 ringgit sehari.


Keesokkan paginya Pak Ali akan keluar lagi untuk mencari rezeki. Basikal beliau akan membawa satu kotak hijau dibelakangnya berisi bubur kacang. Basikal dikayuh disana-sini. Jika ada rezeki, pelanggan akan memanggil beliau dan membeli bubur kacang. Keenakkannya akan membuatkan pelanggan akan membeli lagi pada masa-masa akan datang. Sangat murni usaha yang dilakukan beliau memberi makanan dan kegembiraan kepada pelanggan.

Berkat usaha dari muda lagi berniaga, akhirnya membawa kepada hasil yang baik. Pak Ali dapat membeli sebidang tanah untuk dijadikan harta. Walaupun tidak seluas mana, dengan tanah tersebut beliau mendirikan rumah untuk isteri, anak dan cucu-cucu beliau berteduh. Siapa sangka dengan pendapat yang sedikit setiap hari dapat menjadi banyak. Memang betul pepatah melayu mengatakan, ”sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit”.

Setelah meninggal dunia, Pak Ali telah mewarisi tanah tersebut kepada anak dan cucu-cucunya. Sehingga kini, cucu cicit serta generasi yang lebih muda dapat tinggal ditanah pusaka yang bukannya milik orang lain. Seharusnya generasi baru dari keturunan Pak Ali harus bersyukur kerana berkat usaha beliau, mereka dapat hidup bahagia sekarang tanpa perlu menumpang. Semoga apa yang Pak Ali usahakan mendapat keberkatan dari Allah.


p/s – Pekan kecil yang dimaksudkan adalah Endau, Johor. Tanah yang dimaksudkan adalah di Lorong Satu, Endau Johor yang mana keluarga & penulis dirikan pejabat NahamPhoto sekarang. Pak Ali pula adalah moyang kepada penulis iaitu Ali bin Awang. Cerita ini diolah dari cerita-cerita cucu beliau iaitu bapa penulis sendiri dan juga bapa saudara yang lain. Semoga roh beliau dirahmati Allah. Al-Fatihah

Selasa, 6 Disember 2011

Bisnes Internet : Mengadap Komputer Rumah Pun Boleh Dapat Duit Ke?

Persoalan itu mungkin timbul di minda orang-orang lama yang tidak mengikuti perkembangan semasa. Bagi mereka hasil pendapatan hanya boleh didapati dengan keluar mencari pekerjaan atau mengeluarkan titik peluh sahaja. Bagi yang melakukan bisnes internet dari rumah pula, mungkin agak tidak senang jika orang-orang sebegini memandang mereka hanya duduk mengadap PC di rumah. Namun zaman dahulu sangat berbeza dengan sekarang dimana teknologi maju membolehkan kita menjana pendapatan hanya dari rumah.

Rasanya sudah lama penulis tidak menulis artikel mengenai bisnes internet. Disini ingin penulis kongsikan beberapa cabaran berkenaan dengan bisnes internet yang mana berdasarkan pengalaman 5 tahun menceburi bidang ini secara sambilan dan 1 tahun secara sepenuh masa. Walaupun dengan pengalaman yang tidak seberapa ini penulis cuba sampaikan beberapa info dengan harapan dapat membantu mereka yang baru ingin masuk ke dunia bisnes internet ataupun yang ingin terus memajukan bisnes mereka.

Penulis adalah salah seorang jurufoto perkahwinan yang menggunakan sepenuhnya media sosial yang ada sekarang. Bermula dengan promosi, berinteraksi dengan pelanggan sehingga lah berhubung memberi khidmat pelanggan, semuanya menggunakan teknologi internet. Media sosial memang banyak memudahkan tugas penulis selain dapat menjimatkan kos. Namun adakah ia semudah yang anda sangkakan? Setiap apa yang dilakukan pastinya ada cabaran. Disini penulis kongsikan cabaran-cabaran dengan membahagikan beberapa bahagian;

1) Persediaan Fizikal

Mengadap komputer terlalu lama pasti membuatkan mata anda sakit begitu juga dengan pinggang. Oleh itu pastikan anda membuat jadual waktu anda menggunakan komputer dan selitkan masa-masa untuk berehat. Badan anda perlu sihat untuk meneruskan kerja-kerja seterusnya.

2) Persediaan Mental

Kadangkala anda mengalami pelbagai masalah atau tidak dapat fokus dengan kerja. Ini akan membuatkan anda 'down' untuk melakukan kerja anda dirumah. Oleh itu anda kena naikkan semula semangat bekerja walau bagaimana cara sekali pun. Mental anda perlu kuat untuk menghadapi pelbagai cabaran.

3) Persekitaran Negatif

Ada juga terjadi dimana anda sudah bersemangat untuk bekerja tetapi persekitaran dirumah anda pula tidak membantu. Contohnya masalah-masalah keluarga, anak-anak yang membuat bising dan sebagainya. Anda perlu mencari altenatif suaya situasi seperti ini tidak akan mengganggu kerja anda.

4) Masa diganggu

Bekerja dirumah akan menyebabkan masa anda mudah diganggu. Contohnya ahli keluarga meminta tolong keluar menyelesaikan tugas lain. Ini kerana mereka tahu anda mempunyai banyak masa berbanding orang yang bekerja di pejabat. Oleh itu anda perlu menerangkan yang kerja anda juga mempunyai jadual yang perlu diikut.

5) Motivasi Tinggi

Ya, kerja sendiri memerlukan motivasi yang sangat tinggi. Jika anda lemah maka kerja anda selama ini menjadi sia-sia. Carilah sesuatu yang boleh menaikkan motivasi anda seperti mencari mentor dan menyertai seminar yang berkenaan. Minta sokongan daripada keluarga untuk memahami tugas anda.

Fahami tugas usahawan internet ini sangat mencabar dimana mereka memerlukan lebih banyak masa dan tenaga dari mereka yang bekerja makan gaji.

Rumusannya, bekerja dimana-mana sekalipun mempunyai cabarannya tersendiri. Sebagai seorang usahawan internet anda perlu bijak mengatasi masalah ini. Jika anda rasa anda tidak sesuai bekerja dirumah, cari satu lokasi yang mempunyai persekitaran yang lebih positif atau memberi penjelasan kepada keluarga tentang pentingnya sokongan dalam menjayakan bisnes di rumah. Insya Allah jika penerangan yang diberikan jelas, maka orang lain tidak akan memandang serong lagi pada mereka yang bekerja mengadap komputer.