Selasa, 29 September 2009

Hari Raya 2009 Tetap Best!


Sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini disambut sederhana oleh penulis & keluarga. Seperti biasa penulis & isteri tidak berebut-rebut untuk pulang ke kampung siapa dahulu seperti pasangan-pasangan yang lain. Setelah beberapa malam mencari keperluan raya terutamanya untuk anak-anak, akhirnya kami pulang ke kampung halaman (Endau, Johor) pada Khamis malam Jumaat (17 September 2009). Segala persiapan rapi sebelum memulakan perjalanan telah dilakukan lebih awal untuk melancarkan perjalanan kami.

Muaz bermain bunga api sambil diperhatikan oleh sepupu-sepupunya...

Penulis berbuka sambil memandu di Jemaluang ketika perjalanan pulang tersebut. Trafik agak baik pada hari itu kerana mungkin orang-orang lain belum lagi memulakan perjalanan balik ke kampung. Sampai di Lorong 1 (rumah Abah & Emak) , semua adik beradik telah ada berkumpul dirumah. Malam itu, anak-anak buah penulis telah mula bermain bunga api. Memang itulah tradisi sejak dulu lagi. Hari raya kalau tiada suara riang ria kanak-kanak memang tidak meriah. Merekalah yang paling happy sekali.


Kak Ngah dan BBQnya dimalam raya...

Menjelang raya tempohari, penulis banyak membantu keluarga mertua membuat persiapan raya. Penat memang tidak terkata memandangkan berpuasa tetapi membuat kerja sepanjang hari. Membeli barang keperluan, mengemas rumah, malah sempat mengecat rumah. Pada malam raya tersebut, penulis sempat menghantar beberapa hamper kepada orang-orang kampung hasil pemberian bapa mertua penulis (memandangkan dia Ketua Kampung dan ahli JKKK).

Adik ketika beraya di rumah Tok Jan dia di Kampung Teriang

Pada hari raya pertama, penulis bersembahyang raya di Masjid Kampung Teriang kemudian ke rumah Abah di Lorong 1 untuk kenduri tahlil. Selepas itu ke rumah mertua pula untuk bertakbir & sesi bermaaf-maafan seperti kebiasaannya. Penulis pergi beraya di sekitar Kampung isteri pada hari raya pertama tersebut. Pada malam hari barulah penulis sekeluarga balik semula ke Lorong 1 untuk beraya. Ramai juga sedara mara yang datang kerumah pada malam tersebut.



Pada pagi hari raya kedua, kami ke tanah perkuburan Tanjung Gemok. Ini adalah acara tahunan yang wajib. Penulis melawat kubur arwah Tok Ayah, Mak Tok, Mak Busu & atuk2 saudara yang lain. Pulang dari melawat kubur, penulis beraya ke rumah-rumah bapa saudara di Tanjung Gemok, Rompin Pahang. Penulis lebih banyak merakam video pada raya kali ini kerana tidak sempat berkarya dengan kamera. Mungkin kerana kepenatan & kesibukan melayan kerenah anak yang agak ekstrem.

Dari kiri : Pokde, Mak Bah, Abg Yu & Mak ketika beraya di Lorong 1

Hari raya seterusnya, penulis banyak melawat rumah-rumah saudara di Mersing, Kuala Rompin & Muadzam Shah serta bersama-sama dengan sepupu-sepupu bermain PS2 pada sebelah malam. Begitulah raya tahun ini, walaupun sederhana tapi tetap meriah dengan berkumpulnya sanak saudara. Itu antara keistimewaan raya bagi penulis apabila dapat berkumpul beramai-ramai apatah lagi mereka-mereka yang jarang dapat bertemu. Hubungan kekeluargaan ini memang penulis jaga sejak dari dulu.

Walaupun 10 hari telah berlalu, namun kemeriahan raya masih lagi dapat dirasakan. Selepas ini sudah pasti banyak 'open house' akan diumumkan malah penulis & rakan-rakan sudah membuat perancangan untuk beraya sekitar J.B. pada hujung minggu ini. Akhir kata, walaupun kita bersuka ria, jangan pula kita lupa dengan orang yang masih susah, tiada ibubapa atau yang diperantauan. Selamat hari raya Aidilfitri saya ucapkan pada mereka-mereka ini. Semoga hari raya ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim kita.

1 ulasan:

Julie Shahril berkata...

slmt hari raya..maaf zahir batin..
dtg keje pun still rasa malas lg...mood raya masih ada..