Khamis, 30 Disember 2010

Majlis Sana Sini

Ini adalah posting terakhir untuk tahun 2010 dimana sudah masuk tahun keempat penulis dalam dunia blogging. Bulan 12 merupakan bulan yang penuh dengan warna-warni kemeriahan majlis disana-sini. Selain dari majlis kahwin yang mana penulis terlibat secara rasmi sebagai Jurugambar, terdapat majlis-majlis lain yang dihadiri oleh penulis iaitu bersama-sama dengan ahli keluarga.



Majlis keluarga yang pertama adalah birthday bapa mertua dan ulangtahunnya bersama ibu mertua. Dibuat dalam kelompok keluarga yang kecil namun tetap meriah dengan kehadiran ramai anak-anak kecil dan sepupu-sepupu isteri. Majlis makan-makan dilakukan secara santai dan diakhiri dengan acara karaoke beramai-ramai sehingga ke pagi. Bapa mertua juga memberi saguhati kepada ahli keluarganya.

Majlis yang seterusnya adalah majlis tahlil & cukur jambul Nada Hazirah. Majlis yang mulanya dirancang hanya kecil-kecilan dan tidak mengharapkan kedatangan yang ramai telah menjadi meriah dengan kehadiran ramai jemaah masjid dan ahli keluarga. Masakan yang enak oleh emak, kakak dan adik tidak dapat dilupakan dan ada juga jemaah yang telah meminta bungkusan untuk dibawa pulang.



Antara kelebihan dalam membuat majlis sebegini adalah dapat merapatkan lagi hubungan sesama ahli keluarga selain memperingati jasa baik mereka yang sepatutnya. Mereka yang muda perlulah terus menghormati generasi emas dan meneruskan amalan-amalan yang baik yang telah diturunkan oleh golongan tua. Semoga majlis-majlis sebegini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang demi kebaikan.

Jumaat, 24 Disember 2010

BYC Giveaway Contest


Saya ada peluang untuk menang 2 Dirham Kelantan di http://byc.com.my. Brainy Young Caliph, offering ALIMKIds Playgroups, School Holidays Activities, Shaping Up Young Caliph seminars, Breastfeeding talks and WAHM support. Best for both worlds.

p/s : Kalau menang 2 dirham, dapat la lagi tambah simpanan... :)

Khamis, 16 Disember 2010

Hidup Tenang Walaupun Berhutang


Apakah itu hutang? Mesti ramai yang tahu apa itu hutang. Lebih tepat lagi ramai yang tahu dan gemar membuat hutang. Namun ramai yang tidak sedar dengan bahaya hutang. Di dalam islam, hutang dibenarkan untuk kes kecemasan tetapi bukan untuk berbelanja yang tidak sepatutnya sehinggakan sakit apabila hendak membayar. Apabila anda meninggal dunia pula, hutang juga diingatkan oleh orang yang menguruskan jenazah anda dan waris-waris anda perlu melunaskannya. Begitulah hebatnya hutang dalam hidup dan mati anda.

Penulis telah habis membaca satu buku tulisan Shamsuddin Kadir iaitu 'Hidup Tenang Walaupun Berhutang dimana telah banyak memberikan kesedaran dan membuka minda tentang berhutang. Tajuk kecil buku ini sangat menarik iaitu 'kenapa harus pinjam RM50 dan bayar RM500?' telah menjelaskan lagi maklumat tentang bahaya pinjaman terutama bank-bank yang mengenakan faedah. Ramai yang tidak sedar & mengkaji bahaya faedah yang dikenakan bank kita membayar jauh lebih banyak dari yang kita pinjam.

Pada pendapat penulis, point yang paling memberi kesan dalam buku ini adalah hutang menggunakan KAD KREDIT dan SKIM ANSURAN MUDAH. Kedua dua kaedah ini telah banyak menjerat pengguna dan mengakibatkan pengguna gagal atau susah untuk melangsaikan hutang. Hutang PINJAMAN PERIBADI pula antara yang digemari oleh kita tetapi perlulah bijak dalam menggunakan wang tersebut seperti membuat pelaburan dan menjalankan perniagaan. Banyak lagi tips yang anda akan tahu didalam buku ini.

Rumusan setelah membaca buku ini, penulis dapat menetapkan pengurusan kewangan penulis supaya dapat berbelanja dengan lebih bijak. Hutang-hutang sedia ada dapat diuruskan mengikut jadual yang diajar. Seterusnya jangan membuat hutang yang baru agar hidup sentiasa akan tenang. Sebenarnya banyak lagi cara selain berhutang untuk menyelesaikan masalah kewangan anda contohnya mengunakan emas, pelaburan dan sebagainya. Anda mungkin tidak tahu kuasa yang ada pada emas jadi rajin-rajinlah membaca & mengkaji.


Berikut merupakan rumusan oleh penulis buku tersebut. Hidup tenang walaupun berhutang jika...

1. Kawal nafsu
2. Hidup dengan kesederhanaan
3. Belanja ikut belanjawan
4. Beri dulu, baru terima
5. Gunakan pinjaman secara bijak
6. Simpan duit secara berterusan

*p/s - cukuplah kita kayakan bank, ceti & Ah Long...

Jumaat, 10 Disember 2010

Emas & Perak Menjadi Pilihan Untuk Pelaburan & Simpanan


Bermula Oktober tahun ini, penulis telah banyak membaca tentang emas dan perak yang dijadikan sebagai satu pelaburan alternatif. Kerana naluri ingin tahu, minat dalam bidang statistik & pelaburan ditambah dengan pembacaan yang banyak, penulis dapati emas & perak merupakan satu pelaburan yang menarik. Bukan sahaja untuk pelaburan malah mengikut hadis juga, kita digalakkan menyimpan dinar (emas) dan dirham (perak) sebagai satu keperluan pada masa akan datang. Ini kerana dinar dan dirham adalah matawang sebenar islam yang telah digunakan sejak zaman Nabi lagi.

Penulis rasa ramai yang belum tahu sejarah wujudnya wang fiat (wang kertas yang kita gunakan sekarang). Jika anda belum tahu, cuba rajin-rajinkan diri mencari maklumat tentang sejarah wang fiat dan juga cuba baca maklumat-maklumat mengenai dinar dan dirham. Sesungguhnya jika anda menghayati perkara tersebut, anda akan tersentak dan rasa perlu membuat perubahan. Banyak pautan-pautan yang penulis telah link di blog Mencipta Memori ini mengenai emas dan perak. Anda akan tahu dengan lebih mendalam tentang inflasi, sistem kewangan ciptaan US dan juga sistem kewangan digital.


Tersedar dengan maklumat tersebut, penulis telah mengambil langkah dengan membeli emas untuk simpanan & pelaburan. Emas yang dimaksudkan ini bukannya pelaburan GIA atau melalui sistem bank tetapi membeli emas fizikal (yang boleh dipegang) dan kita menyimpannya sendiri. Selain dapat merasakan aura kekuatan emas yang dipegang, anda juga akan sedar yang duit kertas sekarang sangat tidak bermakna manakala nilai emas anda akan meningkat dari masa ke semasa. Emas dan perak fizikal ini boleh dibeli dengan pelbagai syarikat di Malaysia seperti Public Gold, GCP, Poh Kong dan lain-lain.

Rumusan penulis, jika anda ingin menyelamatkan wang anda yang disimpan dibawah bantal, di dalam tabung atau di dalam bank, cuba tukarkan pula dengan menyimpan emas dan perak. Pasti anda akan dapat rasakan kekuatan emas & perak tersebut. Selain pelaburan-pelaburan lain seperti unit amanah & hartanah, tidak salah juga jika anda mencuba pelaburan emas & perak. Namun begitu, jangan letakkan semua telur anda dalam satu bakul, jika jatuh semuanya pecah. Pelbagaikan pelaburan anda dengan menyertai pasaran-pasaran yang bagus diluar sana sebagai satu langkah berjaga-jaga.

Dinar Kelantan memang cantik! Bila agaknya negeri-negeri lain akan mengikuti jejak langkah Kelantan? Gambar dari SINI.

*p/s-Insya Allah, penulis akan kongsikan tips pengurusan kewangan kepada anda pada masa-masa akan datang atas label BIJAK WANG.

Isnin, 6 Disember 2010

Apakah Azam Tahun Baru Anda?

Gambar Hiasan

Pada maghrib hari ini kita akan menemui satu lagi tahun baru dalam islam. Awal Muharam 1432 Hijrah akan muncul dengan pelbagai lagi cabaran baru kepada penulis. Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, penulis telah berazam untuk mencapai sesuatu tahap yang telah ditetapkan dari awal. Dalam waktu ini, sememangnya penulis sangat sibuk dan sakit kepala untuk memikirkan perancangan serta strategi untuk menghadapi tahun baru. Jika ditafsirkan secara kasar, penulis dapat rasakan yang penulis telah BERJAYA mencapai target yang telah ditetapkan pada tahun lepas walaupun tidak sepenuhnya.

Pada tahun ini, penulis telah menetapkan beberapa azam iaitu ingin bekerja dengan lebih keras kerana telah sepenuhnya mengusahakan bisnes sendiri. Apa yang lebih penting, penulis berazam untuk melaksanakan semua perancangan yang telah dibuat. Perancangan tanpa perlaksanaan tidak ada makna juga oleh sebab itu semangat untuk terus bekerja itu sangat penting. Tidak boleh hanya hangat-hangat taik ayam. Jadual seharian, tugasan bulanan & target tahunan perlulah diikuti dengan bersungguh-sungguh. Apa yang penulis harapkan, Allah akan terus memberikan kesihatan & rezeki-Nya kepada penulis.

Untuk keluarga pula, penulis berazam untuk memberikan mereka kebahagiaan dengan sebaik-baiknya. Keluarga amat penting kerana mereka lah yang boleh memberikan semangat kepada penulis. Anak-anak perlu dilengkapkan dengan pelbagai persediaan seperti pendidikan, kesihatan dan lain-lain. Penulis juga merancang untuk membuat atau membeli sebuah rumah untuk masa hadapan. Bagi bisnes pula, penulis merancang untuk membuka sebuah tempat latihan untuk fotografi & rekabentuk grafik. Itu antara harapan-harapan penulis untuk tahun depan namun kita merancang, hanya tuhan yang menentukan.

Oleh sebab itu, penulis menyeru semua, ,marilah kita membaca doa akhir & awal tahun pada petang ini untuk sama-sama mencari keberkatan & keredhaannya. Semoga azam tahun baru penulis dan juga anda semua akan tercapai nanti. Insya Allah.

DOA AKHIR TAHUN


DOA AWAL TAHUN


Maksudnya boleh dilihat DISINI.

*p/s - nanti nak cerita pasal wish list macam tahun lepas...

Ahad, 5 Disember 2010

Pertama Kali Sertai Aktiviti CLAPAM


Beberapa minggu yang lepas penulis telah mendapat surat jemputan dari Persatuan Klef Bibir & Lelangit Malaysia (CLAPAM) untuk datang menyertai aktiviti di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Memandangkan penulis sudah merancang bercuti pada tarikh tersebut maka penulis mengambil keputusan untuk hadir ke majlis tersebut sambil berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Ini merupakan kali pertama penulis menyertai program bersama CLAPAM setelah menyertai persatuan ini lebih kurang setahun yang lalu. Ini merupakan hari yang istimewa untuk Nailah Hana dan ahli keluarga yang lain.

Lokasi kejadian...

En. Zainal Azhar Ahmad, Pengerusi CLAPAM

Aktiviti tersebut dinamakan Spread the Smile with Colours adalah anjuran ING insurans dan CLAPAM yang dibuat di Dasein Academy of Art, Wangsa Maju Kuala Lumpur. Program dimulakan dengan sarapan pagi yang enak dengan 3 menu berlainan. Seterusnya dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu mewarna bagi kanak-kanak dan sesi ceramah bersama Doktor & panel-panel yang berkenaan. Program diakhiri dengan sesi soal jawab dan seterusnya makan tengahari bersama-sama. Tetamu juga dihadiahkan goodies bag dengan pelbagai pemberian yang menarik.

Nailah sangat happy!


Penulis harap selepas ini CLAPAM akan terus melakukan aktiviti-aktiviti menarik terutamanya untuk anak-anak istimewa ini. Maklumat-maklumat berterusan oleh CLAPAM untuk ibu-bapa tetap diharapkan dari masa ke semasa. Bagi penulis, rasa gembira tetap ada apabila dapat berjumpa dengan ibu-bapa dan kanak-kanak istimewa sama seperti anak penulis, Nailah Hana. Dengan program seperti ini ibu bapa dapat meraikan anak mereka dan dalam masa yang sama dapat bersyukur dengan pemberian Allah. Sesungguhnya takdir Allah itu berbeza-beza tetapi yang penting kita perlu bersyukur.

Gambar-gambar lain boleh dilihat DISINI.

*p/s - masih memikirkan untuk NahamPhoto membuat satu program kebajikan bersama CLAPAM. Hmmm

Selasa, 30 November 2010

Aku Bebas!


Seperti yang dijanjikan, penulis akan menerangkan serba sedikit tentang apa yang penulis akan tumpukan selepas tidak lagi bekerja makan gaji. Tetapi sebelum itu, penulis nak bercerita sedikit tentang angin lalu dan desas-desus dari belakang tentang ketidakyakinan mereka terhadap penulis. Mentaliti makan gaji lebih baik atau bisnes wajib ada premis tetap kedengaran. Takutnya mereka kalau penulis tidak mampu melakukannya. Sepertimana mereka, nak keluar dari 'comfort zone' memang susah tetapi sila hormati tindakan orang lain yang nak keluar.

Suka penulis tekankan, minda pemikiran perlu lebih positif. Cuba lihat sesuatu perkara itu dari perspektif yang berlainan. Jangan hanya melihat yang negatif sahaja. Setiap orang ada kelemahan & kelebihan masing-masing. Apa yang penting, kita perlu cari kelebihan yang ada dalam diri untuk digunakan sebaiknya. Berbalik pada tujuan asal posting, disini penulis ingin menerangkan bisnes-bisnes & projek yang penulis buat dan akan buat pada masa akan datang untuk pengetahuan semua. Ini bertujuan untuk menjawab persoalan-persoalan kenalan penulis tentang apa yang sebenarnya penulis lakukan.

Penulis bahagikan ia kepada 3 bahagian utama iaitu NahamPhoto, Pelaburan atau Pengurusan Kewangan dan Bisnes Produk Online. Dari 3 kategori utama itu terdapat 10 bisnes yang telah penulis rancang. Ia adalah seperti berikut mengikut keutamaan (priority);

NahamPhoto

1) Perkhidmatan Fotografi - fotografi perkahwinan, acara rasmi, portraiture, outdoor dan commercial.

2) Latihan - modul berkenaan fotografi, rekabentuk grafik, Adobe Photoshop, laman web dan blog.

3) Rekabentuk grafik/ web/ blog - membuat custom album, rekabentuk banner/ bunting, pembangunan & consultancy mengenai laman web & blog.

Pelaburan/ Pengurusan Kewangan

4) Tune Talk - bisnes referal & komisyen sepanjang hidup menjual prepaid Tune Talk (SUDAH DIJALANKAN)

5) Public Gold - agen jualan emas sebagai pelaburan & simpanan. (DALAM PROSES - dah mula start sedikit)

6) Public Mutual - agen unit trust Public Bank. (DALAM PROSES - tidak lama lagi)

Produk Online

7) Cup Cakes - tempahan cup cakes untuk majlis perkahwinan, harijadi, konvokesyen dlln (AKAN DATANG - setengah tahun pertama 2011)

8) Produk berkaitan pakaian. (DALAM PERANCANGAN - setengah tahun ke-2 2011)

9) Produk berkaitan kesihatan. (DALAM PERANCANGAN - 2012)

10) Produk berkaitan kenderaan. (DALAM PERANCANGAN - 2012)

Penulis juga boleh membantu dalam soal pelaburan emas serta jual-beli dinar & dirham. Insya Allah.

Rumusannya, kategori NahamPhoto memang menjadi keutamaan dan telah diuruskan sejak 5 tahun lepas secara sambilan. Cuma kali ini, penulis akan menumpukan dengan lebih mendalam. Kategori pelaburan pula hanya dilakukan secara sambilan sambil dapat membantu menguruskan kewangan diri sendiri dan orang lain. Manakala kategori produk online akan diuruskan dari segi perancangan dan operasinya mungkin akan menggunakan tenaga kerja lain seperti keluarga terdekat atau mengupah pekerja.

Diharap dengan adanya keterangan ini, ia lebih jelas dan dapat menjawab persoalan-persoalan mereka yang mengenali penulis. Hanya satu harapan penulis, supaya terus dengan pemikiran positif serta menyokong penulis dalam apa jua yang penulis lakukan. Tidak perlu menakut-nakutkan atau tidak memberi semangat hanya kerana takut penulis tidak mampu melakukannya. Ini kerana pada penulis, orang yang tidak berani untuk mencuba itu adalah sebenarnya orang yang gagal.

*p/s-teringat ketika minum dengan seorang kawan baru-baru ini. Minda bisnes dia sangat hebat sehinggakan pokok dirumahnya juga mampu dijualnya...

Rabu, 24 November 2010

Genap Setahun Di CBC


Setelah genap setahun menjalankan tugas sebagai Pengurus di Pusat Jalur Lebar Komuniti (CBC) Teriang Besar, kini sudah tiba masanya penulis membuka satu langkah perubahan yang besar dalam hidup penulis. Impian untuk melakukan tugas tanpa mengikut telunjuk orang lain (dengan erti kata lain, kerja makan gaji) akan termakbul kini. Niat utama penulis tidak lain tidak bukan adalah untuk mencari lebih keberkatan dalam rezeki seharian dimana bekerja sendiri lebih memberi makna berbanding bekerja makan gaji.

Seperti mana penulis pernah katakan dulu samada di blog ini ataupun Facebook, hasrat utama penulis berhenti kerja di KPYPJ pada awalnya memanglah untuk bekerja sendiri dengan menumpukan bisnes bersama NahamPhoto. Bekerja di CBC adalah sekadar mengambil peluang yang ada dan mencari persekitaran baru dalam bidang pekerjaan serta menimba pengalaman. Kini setelah setahun, penulis rasakan sudah tiba masanya untuk menumpukan sepenuhnya kepada bidang perniagaan yang menjadi target utama dalam hidup penulis selama ini.

Ketika pelancaran CBC Lundu di Lundu Sarawak

Selama bekerja di CBC, berbagai pengalaman yang penulis perolehi antaranya persekitaran dalam bekerja di kawasan luar bandar. Bekerja dengan komuniti sememangnya memberikan satu cabaran berlainan dimana penulis perlu berdepan dengan pelbagai karenah manusia disekeliling. Ada yang memberi kerjasama yang baik namun ada juga yang tidak. Segelintir masyarakat tidak mahu mengambil peluang kemudahan yang telah disediakan serta bersikap negatif. Tetapi syabas kepada mereka yang dapat memanfaatkan kelebihan yang diberikan dengan menjadikan ia sebagai satu perkara yang positif.

Bersama Y.B. Ahli Parlimen Mersing di pelancaran CBC Teriang Besar

Selain itu, penulis berpeluang menimba pengalaman dari segi pengurusan dan perkara-perkara melibatkan akaun dan staf. Penulis juga dapat mencurahkan ilmu kepada mereka-mereka yang sudi datang ke Pusat Jalur Lebar Komuniti ini untuk belajar berkenaan dengan ICT. Sangat rugilah mereka-mereka yang lain yang tidak mahu mencebok ilmu dari penulis kerana selepas ini peluang itu sangat terhad. Walaupun penulis telah membuka peluang yang besar untuk belajar selama ini tetapi kesedaran komuniti setempat masih kurang.

Bersama Y.A.B. Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim dan VVIP dari SKMM & DiGi

Kepada rakan-rakan CBC yang lain, penulis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya bersama CBC. Ambillah pengalaman bekerja disini sebagai bekalan anda dimasa hadapan. Terus kental mental dan fizikal dan hadapi cabaran-cabaran yang datang itu dengan sebaik-baiknya. Penulis harap sangat yang kita semua akan dapat terus berhubung diantara satu sama lain. Manalah tahu, kita boleh membuat satu jalinan kerjasama untuk apa-apa bisnes yang berkaitan pada masa-masa akan datang.

Rumusannya, penulis merasa sedih dan gembira. Sedih kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan sekerja tetapi gembira kerana akan mencapai impian. Penulis harapkan agar rakan-rakan semua terus mendoakan kejayaan penulis dalam bidang yang akan usahakan selepas ini. Penulis juga doakan perkara yang sama untuk anda. Untuk posting seterusnya, penulis akan terangkan secara lengkap apa bisnes-bisnes yang penulis akan buat selepas ini selain NahamPhoto. Teruskan bersama penulis tidak kira di blog Mencipta Memori ini atau di Facebook!

Khamis, 11 November 2010

Minat Membaca


Akhir-akhir ini penulis begitu banyak membaca. Tidak kira di internet mahupun buku-buku yang ada terutama mengenai pengurusan wang, perniagaan & keusahawanan. CBC tempat penulis bekerja pula bersebelahan dengan perpustakaan desa jadi lebih mudah lah penulis memperolehi buku-buku disitu. Membaca sememangnya satu cara yang baik untuk menimba seberapa banyak ilmu. Dari sebesar-besar perkara hingga kecil, semakin banyak pengetahuan dapat disimpan didalam minda. Budaya membaca sememangnya satu budaya yang baik.


Buku & artikel yang banyak penulis baca akhir-akhir ini adalah seperti majalah Jutawan bermula dengan bulan Oktober (ada gambar mentor penulis, Dr. Azizan Osman). Begitu juga dengan buku-buku berkenaan pengurusan wang seperti 'Rancang Hidup Rancang Wang' tulisan Hamdy. Semasa penulis minum dengan sahabat baik penulis iaitu Pakcu Amin tempohari, beliau ada juga menunjukkan satu buku yang menarik tulisan Pakdi iaitu 'Rancang Wang Dari Sekarang'. Terasa ingin membaca buku tersebut.


Sekarang penulis masih membaca satu buku tulisan Dr. Fadzilah Kamsah & Muhammad Zakaria iaitu 'Langkah Bijak Usahawan Terbilang'. Bukunya sangat menarik dengan teks dan grafik yang tidak membosankan membolehkan kita membaca dengan seronok. Buku ini banyak memberi tips berguna bagaimana menjadi seorang usahawan yang berjaya. Setakat bacaan penulis hari ini, buku ini telah memberikan inspirasi dalam banyak perancangan-perancangan bisnes penulis akhir-akhir ini terutama dalam bisnes NahamPhoto & Tune Talk.


Terdapat satu lagi buku yang penulis masih belum baca dan teringin baca sejak dari dulu lagi iaitu 'Rich Dad Poor Dad' tulisan Robert T. Kiyosaki (ketinggalan pulak rasanya). Apa yang penulis tahu dan kenal mengenai penulis buku ini, beliau mempunyai pandangan yang berbeza mengenai bisnes dan urusan kehidupan harian. Beliau juga banyak memberi ilmu mengenai pelaburan dan perancangan kewangan dalam hidup melalui video-video Youtube yang penulis lihat sebelum ini. Memang telah banyak membuka & mengubah minda penulis.

Selain itu penulis juga akan cuba membaca buku-buku cadangan rakan-rakan FB seperti 'Rahsia Orang Kaya Damansara' tulisan Ahmad Razzi Al Mansur dan 'Orang Kaya Bertaqwa' tulisan Dr. rusly Abdullah. Harapan penulis dari bacaan-bacaan penulis ini dapat memberikan banyak pengetahuan, idea, inspirasi seterusnya dapat menjayakan apa yang penulis rancang selama ini. Impian menjadi usahawan berjaya dan akhirnya jutawan yang beriman tidak mustahil jika terus berusaha dan tawakkal kepada Allah. Insya Allah.

Selasa, 2 November 2010

P.Ramlee : Lagenda Yang Tidak Sepatutnya Hilang


Beberapa minggu yang lepas di Astro dan radio terutama sinar.fm telah banyak mempromosikan satu dokumentari khas mengenai Alllahyarham P.Ramlee di siaran Astro History (Channel 555). Setelah menunggu, penulis akhirnya berpeluang menonton siaran 2 jam tersebut dimana banyak video, termuramah dan rakaman suara yang belum pernah kita dengar sebelum ini. Profil dokumentari tersebut telah banyak membuka mata penulis betapa hebatnya seorang insan bernama P.Ramlee. Namun melalui dokumentari tersebut juga, penulis turut dapat merasakan apa yang telah beliau lalui sepanjang hayat terutama dizaman kejatuhannya.

Semua orang mungkin sudah tahu dizaman kegelilangannya banyak filem-filem menarik beliau telah mendapat pengiktirafan dan beliau sendiri pernah memenangi beberapa anugerah diperingkat antarabangsa. Namun tidak ramai yang tahu apa yang telah dilalui dizaman kejatuhannya. Beliau adalah anak emas Shaw Brothers (SB) iaitu produksi filem di Singapura terletak di jalan Ampas. Anak jati Pulau Pinang ini bermula hanya menjadi krew belakang tabir dalam industri filem namun gigih berusaha sehingga dapat mencipta nama di SB dengan arahan-arahan filem yang mendapat sambutan ramai.

Episod kejatuhan bermula apabila perdana menteri Singapura ketika itu (Lee Kwan Yew) telah menetapkan satu polisi (tidak berapa pasti apa dia) tetapi menyebabkan P.Ramlee terpaksa keluar dari SB. Beliau telah diberi tawaran oleh satu produsi filem di Kuala Lumpur iaitu Merdeka Studio (MS) dengan janji, "apa sahaja yang u nak, akan dapat". Namun malangnya, janji hanya tinggal janji, P.Ramlee berkarya dengan kelengkapan yang ketinggalan jauh berbanding di SB. Filem pertama bersama MS tidak mendapat sambutan atas faktor peralatan, bajet rendah dan krew-krew yang tidak berpengalaman.

P.Ramlee telah berkahwin sebanyak 3 kali iaitu pertama dengan Junaidah, Noorizan dan terakhir dengan Saloma.

P.Ramlee tidak mengalah disitu, dia terus menghasilkan beberapa buah filem lagi sambil meneruskan karier seni dalam bidang nyanyian. Namun sekali lagi dia menemui kehampaan apabila masyarakat ketika itu lebih mengilai musik pop yeh yeh, The Beatles, Indonesia & hindustan. Beliau juga pernah di boo ketika menyanyi di satu persembahan tetapi penyanyi dari negara luar seperti Singapura, mereka digilai pula. Kehampaan beliau juga turut dirasakan apabila anaknya, arwah Nasir P.Ramlee membawa haluannya sendiri dalam bidang seni dan tidak mewarisi kehebatan dirinya. Hubungan antara mereka berdua juga agak dingin.

Berbalik semula dalam karier perfileman P.Ramlee, beliau pernah ditawarkan untuk mengarah filem warna pertama di Malaysia oleh PERFIMA. Namun setelah bangunan dan produksi telah siap, P.Ramlee telah disingkirkan dan digantikan dengan Dato. Jins Samsudin. Kekecewaan berterusan apabila syarikat rakamannya EMI telah menyingkirkan beliau atas alasan beliau sudah tidak boleh diterima masyarakat. Ternyata beliau sangat kecewa kerana telah banyak jasa yang beliau curah kepada syarikat rakaman tersebut. Beliau telah betul-betul berada dikemuncak kejatuhan apabila ramai yang tidak dapat menerimanya.

P.Ramlee tidak berputus asa secepat itu, beliau tetap terus berusaha, membuat kertas kerja dan berjumpa pihak-pihak tertentu untuk memohon bantuan ketika itu namun semuanya tidak yakin dan menolak beliau. Mengikut rakan-rakan & anaknya ketika itu, kertas kerja beliau begitu mantap dan beliau begitu yakin namun tiada yang sanggup membantu. Beliau juga pernah hadir ke festival filem tanpa disediakan tempat duduk. P.Ramlee akhirnya mengalami masalah kewangan sehinggakan rakannya, Aziz Satar yang datang ke rumah pernah melihat beliau hanya makan nasi dengan telur goreng sahaja.

Dizaman kegemilangannya...

Putus asa bukannya sifat beliau apabila beliau terus membuat beberapa filem walaupun terbatas dengan masalah yang dinyatakan diatas. Namun ada juga segelintir rakan-rakannya seperti Ramlee Kecik, Ahmad Nawab, Aziz Satar, Sarimah telah banyak membantu menyokong beliau. Akhirnya tercipta juga satu produksi hasil bantuan HM Shah yang diberi nama Rumpun Melayu dimana arahan terakhir beliau adalah filem Laksamana Do Re Mi. Mengikut temubual Sarimah, P.Ramlee telah diberikan projek untuk mengarah filem warna pertama sehari sebelum meninggal namun itulah kali terakhir dia menjejakkan kaki ke produksi tersebut.

Disaat menerima kematian mengejut P.Ramlee dalam usia 44 tahun, rakan terdekat begitu risau kerana ketika itu tidak ramai kawan yang ada. Mereka juga risau bagaimana hendak menguruskan mayat dengan masalah kewangan yang dihadapi. Namun sekali lagi rakannya HM Shah telah memberikan wang untuk urusan pengkebumian. Manakala sangkaan rakan beliau sangat silap, ramai rakan-rakan malah orang awam yang datang memberi penghormatan terakhir. Walaupun hasrat beliau tidak tercapai namun ketika gambar jenazah dipaparkan, jelas kelihatan seolah-olah jenazahnya tersenyum.

Rumusan penulis dari biografi tersebut, boleh dikatakan P.Ramlee memang seorang yang hebat, genius dalam seni beliau, positif, tidak mudah putus asa dan begitu pemurah. Temuramah dengan arwah Saloma mengatakan pernah satu ketika didalam poket P.Ramlee ada 200 ringgit dan datang seorang yang susah meminta derma lalu diberikan kesemua wang tersebut walaupun esoknya bank tidak dibuka (dulu tiada mesin ATM). Malangnya, kehebatan P.Ramlee tidak sepatutnya berkubur begitu awal. Beliau sepatutnya diberi peluang dan dihargai ketika hayatnya masih ada. Situasi, masyarakat malah kerajaan ketika itu tidak banyak membantu.

Antara gambar-gambar terakhir sebelum beliau meninggal. Adakah kilauan matanya sama makna dengan senyuman bibirnya?

Diakhir siaran tersebut ada menunjukkan temuramah dengan P.Ramlee dimana beliau berkata lebih kurang begini, "anak-anak muda perlu diserapkan dengan musik melayu agar mereka tidak terpengaruh dengan musik-musik dari luar". Ternyata apa yang digusarkan oleh beliau lebih kurang 40 tahun lepas itu telah menjadi kenyataan sekarang. Ketika hayatnya tidak ramai yang menghargainya namun setelah beliau tiada, barulah kita sedar betapa besarnya jasa beliau dalam industri filem & musik Malaysia. Pada tahun 1990, beliau telah dianugerahkan dengan pangkat Tan Sri namun sudah terlambat bagi seorang lagenda untuk mengecapinya.



Lagu terakhir oleh Allahyarham P.Ramlee. Adakah ini bermaksud beliau sangat kecewa dengan Kuala Lumpur? Hanya Tuhan yang tahu...

*p/s- Info-info lain seperti sejarah lain beliau, kronologi dan berkenaan dokumentari tersebut boleh dibaca DISINI, DISINI dan DISINI. Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatehah kepada roh beliau.

Sabtu, 23 Oktober 2010

Oh Selendang Tiga!


Jika ada yang bertanya, adakah penulis ini datang dari generasi Felda, jawapannya adalah YA! Memang penulis telah dibesarkan dalam suasana Felda pada tahun 80an hingga 90an. Abah telah bekerja sebagai pemandu di Felda dan itulah yang pekerjaan yang telah menyara kami sekeluarga. Kami sekeluarga telah sebati dengan Felda Selendang 3 iaitu terletak di Kuala Rompin, Pahang bersempadan dengan Endau Johor. Pada penulis, kenangan di Felda Selendang 3 memberi 1001 memori pahit manis yang sukar dilupakan.


Beberapa minggu yang lepas penulis berpeluang kembali ke Selendang Tiga kerana mempunyai tugas mengambil gambar perkahwinan disana. Setelah hampir 10 tahun tidak ke sana, pelbagai perubahan telah dilihat. Penulis sendiri tidak menyangka dapat kembali ke sana melihat rumah & kawasan tempat bermain dengan adik-beradik & sepupu. Walaupun lokasi tersebut bukannya lokasi awal Selendang 3 (sebelum itu lokasinya di tempat lain tetapi telah dipindahkan) namun ia tetap menyingkap memori.



Penulis sempat merakamkan beberapa gambar ketika menuju ke Selendang 3. Suasana perjalanan ke sana tidak banyak berubah. Melalui jalan dengan kiri kanan hutan & pokok kelapa sawit, perjalanan mengambil masa dalam 25 minit dari simpang jalan utama ke perkampungan Felda tersebut. Mungkin yang berbeza adalah dari segi pembaikan jalan, jika dahulu jalan tidak sebaik sekarang dan lebih teruk lagi jika hari hujan, jalan akan bergelombang disebabkan lori-lori yang lalu lalang disitu. Jalan juga tidak sepenuhnya bertar.



Jika dilihat gambar diatas, dalam perjalanan menuju ke Selendang 3 akan melalui satu simpang ke Taman Negeri Endau-Rompin dimana anda boleh kesana menaiki kereta dengan perjalanan lebih kurang 16 km. Penulis pernah ke sana melihat keindahan hutan, sungai dan air terjun dimana ia menjadi tarikan pelancong dari kawasan berdekatan. Akhirnya, penulis dapat juga merakamkan gambar rumah lama yang penulis & keluarga menginap dahulu (gambar terakhir). Memang mengimbau memori silam.

*p/s - Cerita mengenai Selendang 3 pernah juga diceritakan DISINI.