Khamis, 11 November 2010

Minat Membaca


Akhir-akhir ini penulis begitu banyak membaca. Tidak kira di internet mahupun buku-buku yang ada terutama mengenai pengurusan wang, perniagaan & keusahawanan. CBC tempat penulis bekerja pula bersebelahan dengan perpustakaan desa jadi lebih mudah lah penulis memperolehi buku-buku disitu. Membaca sememangnya satu cara yang baik untuk menimba seberapa banyak ilmu. Dari sebesar-besar perkara hingga kecil, semakin banyak pengetahuan dapat disimpan didalam minda. Budaya membaca sememangnya satu budaya yang baik.


Buku & artikel yang banyak penulis baca akhir-akhir ini adalah seperti majalah Jutawan bermula dengan bulan Oktober (ada gambar mentor penulis, Dr. Azizan Osman). Begitu juga dengan buku-buku berkenaan pengurusan wang seperti 'Rancang Hidup Rancang Wang' tulisan Hamdy. Semasa penulis minum dengan sahabat baik penulis iaitu Pakcu Amin tempohari, beliau ada juga menunjukkan satu buku yang menarik tulisan Pakdi iaitu 'Rancang Wang Dari Sekarang'. Terasa ingin membaca buku tersebut.


Sekarang penulis masih membaca satu buku tulisan Dr. Fadzilah Kamsah & Muhammad Zakaria iaitu 'Langkah Bijak Usahawan Terbilang'. Bukunya sangat menarik dengan teks dan grafik yang tidak membosankan membolehkan kita membaca dengan seronok. Buku ini banyak memberi tips berguna bagaimana menjadi seorang usahawan yang berjaya. Setakat bacaan penulis hari ini, buku ini telah memberikan inspirasi dalam banyak perancangan-perancangan bisnes penulis akhir-akhir ini terutama dalam bisnes NahamPhoto & Tune Talk.


Terdapat satu lagi buku yang penulis masih belum baca dan teringin baca sejak dari dulu lagi iaitu 'Rich Dad Poor Dad' tulisan Robert T. Kiyosaki (ketinggalan pulak rasanya). Apa yang penulis tahu dan kenal mengenai penulis buku ini, beliau mempunyai pandangan yang berbeza mengenai bisnes dan urusan kehidupan harian. Beliau juga banyak memberi ilmu mengenai pelaburan dan perancangan kewangan dalam hidup melalui video-video Youtube yang penulis lihat sebelum ini. Memang telah banyak membuka & mengubah minda penulis.

Selain itu penulis juga akan cuba membaca buku-buku cadangan rakan-rakan FB seperti 'Rahsia Orang Kaya Damansara' tulisan Ahmad Razzi Al Mansur dan 'Orang Kaya Bertaqwa' tulisan Dr. rusly Abdullah. Harapan penulis dari bacaan-bacaan penulis ini dapat memberikan banyak pengetahuan, idea, inspirasi seterusnya dapat menjayakan apa yang penulis rancang selama ini. Impian menjadi usahawan berjaya dan akhirnya jutawan yang beriman tidak mustahil jika terus berusaha dan tawakkal kepada Allah. Insya Allah.

Tiada ulasan: