Sepertimana yang penulis umumkan sebelum ini, statistik telah menunjukkan kata carian 'Nike Ardilla' adalah yang paling popular ditaip untuk masuk ke dalam blog ini. Ia berikutan artikel NIKE ARDILLA : 14 TAHUN PEMERGIANNYA, AL-FATIHAH... yang ditulis penulis pada 2009. Walaupun ia artikel lama tetapi masih menjadi carian pengunjung internet yang inginkan maklumat mengenai beliau. Namun bukan isu Nike Ardilla yang ingin diutamakan tetapi sejauh mana cara penulisan dalam artikel & posting yang ditulis mempengaruhi minat pembaca.
Berikut merupakan statistik yang penulis rumuskan bagi kata carian untuk tahun 2010 blog Mencipta Memori;
1) nike ardilla : 103 hits
2) nike ardilla kemalangan : 99 hits
3) meningkatkan stamina : 59 hits
4) duit syiling 50 sen : 50 hits
5) syiling 50 sen terbelah : 28 hits
6) kemalangan 10.10.2010 : 24 hits
7) clapam : 22 hits
8) tune talk sim card : 12 hits
9) batu layar : 12 hits
10)amalan membaca : 11 hits
Melalui statistik ini penulis mendapat beberapa rumusan iaitu;
1) Penulisan yang baik dan memberi banyak maklumat penting akan membawa trafik yang banyak ke dalam blog anda. Artikel-artikel yang mempunyai fakta-fakta, sejarah dan pengisian yang menyentuh hati akan mendapat tempat dihati pembaca. Lihat sahaja dua tempat teratas dalam statistik yang ditunjukkan telah membuktikan artikel yang penulis buat itu telah dapat menarik hati pembaca. Mengikut statistik dari histats.com yang penulis gunakan menunjukkan ia banyak menarik pembaca dari negara jiran iaitu Indonesia.
2) Artikel dan posting yang memberikan tips serta panduan juga boleh menarik trafik pembaca yang tinggi. Lihat sahaja kata carian seperti 'meningkatkan stamina' dan 'amalan membaca' merupakan antara posting yang mendapat carian tertinggi di dalam blog ini. Pakar internet seperti Irfan Khairi juga selalu menekankan bahawa maklumat-maklumat ringkas tapi padat seperti ini akan mudah dibaca oleh pengunjung blog. Maklumat-maklumat seperti petua-petua, 10 langkah untuk ... dan seumpamanya lebih mudah untuk difahami.
3) Pelayar internet juga suka mencari maklumat-maklumat baru & terkini yang mereka tahu. Contohnya seperti kata carian 'kemalangan 10.10.2010' menunjukkan pengunjung internet ingin tahu berita-berita terkini yang terjadi. Selain dari laman berita online, ada pengunjung yang lebih suka membaca blog-blog yang mereka minati. Oleh itu jika ingin meningkatkan trafik dalam blog anda, rajin-rajin lah mengemaskini dengan maklumat-maklumat terkini. Tapi pastikan maklumat dan fakta yang diletakkan itu tepat supaya tidak mengelirukan pembaca.
4) Kadangkala artikel-artikel yang ditaip dalam blog mendapat trafik yang tidak disangka-sangka. Ada kata carian yang unik dan pelik yang ditaip untuk mencari maklumat mengenai perkara tersebut. Contohnya dalam statistik diatas adalah 'syiling 50 sen terbelah'. Posting-posting yang unik dan pelik mampu menarik perhatian pembaca kerana maklumatnya yang terhad untuk dicari. Jika anda mempunyai bahan-bahan yang unik, mungkin anda boleh cuba meletakkannya di dalam blog anda. Mana tau ada orang yang ingin mengetahuinya.
Banyak lagi kata carian lain yang penulis dapati dalam statistik dan ada diantaranya agak melucukan seperti ; 'tips parking kereta', 'belajar mengaji', 'bengong', 'netbook 1Malaysia', 'klinik swasta', 'kartun 80an' dan 'datin khaty'. Melalui kajian statistik ini, penulis telah memperolehi banyak ilham untuk terus menulis dalam dunia blogging. Azam penulis pada tahun ini adalah cuba mengeluarkan banyak lagi artikel dan posting yang berkualiti. Apa yang lebih penting dalam penulisan tersebut mempunyai pengisiannya dan maklumat yang lekat dihati pembaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan