Khamis, 12 Jun 2008

Anakku Yang Istimewa...(Bahagian 2)

Sambungan...

Mungkin emak pun dah merasai sesuatu...itulah hati ibu...Pagi-pagi lagi penulis sudah ke hospital dan melihat isteri sudah dimasukkan dengan bermacam-macam tiub. Seterusnya dalam pukul 10.15 pagi, isteri ditolak ke bilik bedah dan penulis menunggu bersendirian dengan hati yang berdebar. Akhirnya isteri selamat dibedah dan baby perempuan telah lahir pada 10.49 pagi dengan berat 3.45 kg.

Dalam pukul 12 tengahari, isteri keluar dari bilik bedah dan penulis melihat riak wajahnya yang agak sedih. Penulis bertanyakan kenapa tetapi dia tidak terkata apa. Tiba-tiba airmatanya jatuh sambil menunjukkan atas bibirnya...penulis paham, mesti terjadi apa-apa kepada baby. Jururawat membawa penulis untuk melihat baby dan apabila sampai ketempat yang dituju penulis melihatnya...dan hati ini...

Penulis melihat atas bibir anak terbelah (atau dipanggil klef) begitu juga sedikit lelangitnya. Hati ayah mana yang tidak sedih melihatnya. Didalam kepala terus mengenangkan apa nasibnya akan datang. Air mata ini tidak tertahan lagi apabila melihat emak, kak long & adik tiba. Penulis terus memeluk emak dan dia memberi kata-kata semangat. Begitu juga dengan ahli-ahli keluarga yang lain.

Pada petang itu juga emak, kak long & adik pulang ke Endau. Penulis mengikut mertua ke kedai makan namum seulas nasi pun tidak dapat dijamah. Sejak dari pagi memang penulis tidak dapat menjamah apa-apapun. Penulis pulang ke rumah namun kesedihan semakin datang apabila melihat tiada sesiapa dirumah. Kerana merasakan kesunyian yang mendalam, penulis mengambil keputusan untuk ke rumah kak ngah di Pasir Gudang.

Jumaat 6 Jun 2008, isteri ditukarkan ke wad 4C (kelas 3) kerana tiada apa-apa komplikasi. Isteri boleh makan dan minum seperti biasa tetapi masih belum dapat melihat anak kerana kurang keupayaan untuk bergerak. Ahli keluarga lain juga belum berkesempatan melihat orang baru. Anak awal-awal lagi dimasukkan ke ICU dan dimasukkan susu melalui tiub. Penulis hanya dapat melihatnya terbaring di dalam ruangnya...

Bersambung...

Tiada ulasan: