Isnin, 26 Julai 2010

Memori Hujung 80an


Beberapa hari yang lepas, penulis telah berjumpa dengan seorang kawan (bernama Rosita) di zaman persekolah darjah 1-3 (tahun 1987-1989) melalui Facebook. Pertemuan ini sudah tentu tidak diduga sama sekali kerana tidak banyak yang dapat diingat tentang dia. Tetapi apabila bersembang dengan dia seolah-seolah sudah mengenalinya dengan agak dalam. Satu demi satu memori dapat dikeluarkan dari kotak ingatan yang mana sudah lama tidak dibuka. Kenangan dizaman kanak-kanak memang sangat indah.

Mengimbas balik sejarah, penulis mula bersekolah di tadika Tanjung Gemok pada tahun 1986. Selalunya arwah Tok Ayah akan menghantar penulis menggunakan basilkal tuanya. Masuk darjah 1, penulis tinggal dirumah sewa hanya disebelah padang sekolah. Mak akan menghantar makanan apabila waktu rehat di pagar padang sekolah tersebut. Penulis bersekolah disitu sehingga ke darjah 3 tahun 1989 dan berpindah ke Sekolah Kebangsaan Bandar Endau kerana abah telah membuat rumah di Endau yang mana kekal sehingga sekarang.

Gambar masa darjah 4, meninggalkan Sekolah Kebangsaan Tanjung Gemok. Gambar pun cam ada maksud, nak meninggalkan negeri Pahang untuk ke Johor.

Berbalik kepada pengenalan tadi, setelah berjumpa dengan Rosita, penulis berjumpa pula dengan seorang lagi rakan sekelas lama iaitu Are Lun. Dari dia, penulis dapat melihat kembali wajah-wajah rakan-rakan lama di SKTG dulu. Awi, Udin, Zul, Pian, Syawal, Sabarina, Yati Karman, Suzaini, Rosdaliha adalah antara nama-nama yang penulis ingat. Penulis sangat gembira melihat gambar-gambar dari Are Lun kerana seingat penulis memang tiada gambar yang penulis simpan semasa bersekolah disitu.

Seingat penulis, masa bersekolah disini, penulis banyak juga melakukan aktiviti dengan kawan-kawan lama. Antara yang diingati adalah main basikal angkat-angkat tayar depan dengan Zahari & Syawal. Di sekolah pula banyak bermain dipadang dan kadangkala cikgu membuat aktiviti di kantin. Di dalam kelas pula macam-macam hal yang dibuatnya dan dulu penulis dikenali sebab pandai melukis. Tetapi tidak ada satupun gambar yang penulis ada ketika itu. Semuanya hanya ada dalam gambaran minda sahaja.

Ini adalah gambar dari FB Are Lun yang penulis paling suka. Wajah-wajah yang mengimbas balik kenangan-kenangan dengan mereka ni. Wajah yang comel-comel & innocent.

Bila melihat gambar tersebut, penulis merasakan itulah satu keistimewaan apabila mempunyai kamera dan gambar. Satu gambar itu boleh menceritakan pelbagai memori dan pastinya ia tidak ternilai dengan wang ringgit. Sejuta memori lama boleh dikembalikan dengan hanya sekeping gambar. Gambar tersebut penulis akan sentiasa kenang kerana ia merupakan memori yang tidak dapat diulang kembali. Sebab itulah sehingga kini penulis meneruskan hasil kerja merakam gambar-gambar dengan harapan ia akan bernilai satu masa nanti.

*p/s -harap selepas ini penulis dapat melihat lagi gambar-gambar lama dari rakan-rakan...

2 ulasan:

Zaidah berkata...

comelnyer gambar ko masa kecik2...muka anak yang soleh semua... :)

Nanie Harris berkata...

hehe...tulah zaidah...
masa era 80an aku kat pahang
masuk era 90an aku kat johor dh...