Selasa, 29 Mei 2012

Untuk Nak Berjaya Perlu Mencari Mentor Yang Telah Berjaya

Topik kali ini tidak menyentuh tentang teknikal tetapi dari segi motivasi untuk menjalankan perniagaan internet. Sepertimana ramai yang tahu, dalam perniagaan antara perkara yang penting adalah pemasaran atau promosi. Perniagaan juga memerlukan kita mengikut langkah dan teknik-teknik mereka yang telah berjaya iaitu mentor. Selain itu mentor diperlukan untuk meningkatkan motivasi diri untuk terus berdaya saing dalam perniagaan. Tanpa mentor mungkin perniagaan anda sedikit pincang kerana tidak mengikut laluan yang betul.

Bagi penulis, ada 2 orang mentor yang selalu menjadi idola dalam perniagaan iaitu IRFAN KHAIRI dan DR. AZIZAN OSMAN. Banyak seminar dan bengkel yang telah disertai dan ia sangat membantu dalam menjalankan tugas seharian. Bukan sahaja dari aspek fizikal tetapi lebih penting emosi penulis dimana bekerja sendiri sangat sukar dengan pelbagai cabaran seperti gangguan orang sekeliling dan mengatur masa. Motivasi diri perlu dikekalkan selalu dengan menghadiri seminar atau membaca buku-buku mereka.

Berikut merupakan pautan 2 orang mentor penulis untuk perkongsian bersama. Mereka ada menjalankan seminar dan bengkel dalam masa terdekat  ini. Jadi boleh lah lawati dan mana tahu ia akan mengubah nasib perniagaan anda pada masa akan datang.

IRFAN KHAIRI
DR. AZIZAN OSMAN

Jika anda suka artikel ini, sila kongsikan ke media sosial seperti dibawah;

Selasa, 22 Mei 2012

Teknik Mencari Maklumat Dengan Pakcik Google



Teknologi maklumat zaman ini memudahkan kita mencari apa saja maklumat yang diingini. Sepertimana ramai yang tahu, internet menyediakan ruang untuk mencari maklumat iaitu dipanggil enjin pencari (search engine). Enjin pencari yang paling popular digunakan sekarang adalah Google. Selain Google, Yahoo & Youtube juga antara enjin pencari yang popular. Youtube boleh dikategorikan sebagai enjin  pencari yang memaparkan maklumat dalam bentuk video.

Jika anda ingin mencari maklumat, terdapat juga teknik-teknik yang betul agar anda memperolehi apa yang diingini. Antaranya adalah;

1) Gunakan lebih dari 2 patah perkataan

Contoh jika anda ingin mencari maklumat mengenai resepi asam pedas dari negeri johor, lebih baik anda menaip "resepi asam pedas" atau "resepi asam pedas johor" daripada hanya menaip "asam pedas" sahaja. Ataupun anda ingin mencari jurufoto kahwin, boleh taip "jurufoto kahwin Mersing" atau "Mersing wedding photographer" yang merujuk terus kepada mereka yang memberikan khidmat dalam kawasan anda.

2) Klik bahagian image jika anda ingin mencari gambar sahaja.

Jika anda perhatikan gambar antaramuka Google diatas, terdapat pelbagai kategori carian seperti image, maps & youtube (sebelah atas sekali). Jika anda mencari sesuatu gambar, taip kata carian dan klik pada image. Google akan memaparkan gambar-gambar sahaja berbanding hanya teks dan link laman web. Cara yang sama jika anda ingin mencari video dan sebagainya.


3) Pastikan ejaan yang betul.

Jika anda menaip ejaan yang salah, mungkin anda tidak memperolehi maklumat yang dicari. Jika kesilapan terjadi, perhatikan cadangan yang diberikan oleh Google kerana salah satu kelebihan menggunakan enjin pencari ini adalah ia dapat mencadangkan kata carian yang seakan hampir dengan kata carian anda yang tersilap ejaan tersebut.

4) Yang paling atas adalah yang paling banyak maklumat

Carian anda akan disenaraikan dengan laman yang paling banyak maklumat akan berada diatas sekali dalam mukasurat pertama. Ini bermakna anda akan memperolehi banyak maklumat dalam hasil carian mukasurat pertama dan semakin berkurang jika anda pergi ke mukasurat ke-10.


Semoga anda dapat menggunakan enjin pencari dengan baik dan memperolehi maklumat untuk kegunaan harian. Kepada penulis blog atau pembuat website, nantikan teknik-teknik untuk menaip atau mengisi maklumat pula dalam posting-posting akan datang. Jika anda suka artikel ini, sila kongsikan ke media sosial seperti dibawah; 

Selasa, 15 Mei 2012

Aplikasi Android Dalam Tablet Penulis

Entry kali ini penulis ingin kongsikan mengenai aplikasi Android yang penulis gunakan dalam tugas & kehidupan harian. Penulis hanya menggunakan tablet Samsung Galaxy Tab 7.0 lama dengan Android versi 2.3 Gingerbread. Penggunaan tablet sangat memudahkan tugasan harian penulis dimana dapat berinteraksi dengan pelanggan, menyemak e-mel dan melayari laman media sosial dimana saja penulis berada. Berikut adalah antara aplikasi yang penulis gunakan dalam tablet penulis;

 

Sistem android menyediakan beberapa aplikasi default yang memang tersedia didalamnya. Ia bergantung kepada jenis perkakasan. Jika perkakasan tersebut boleh membuat panggilan dan SMS, akan tersedia aplikasi untuk membuat call dan menaip SMS. Apa yang lebih penting adalah aplikasi untuk setting perkakasan serta menguruskan aplikasi seperti SETTING & TASK MANAGER. Aplikasi seperti FACEBOOK & TWITTERperlu dipasang sendiri oleh pengguna.


Jika diperhatikan diatas, penulis memasang hampir semua aplikasi bersembang utama seperti Facebook Messenger, Yahoo Messenger & Skype. Penulis juga memasang beberapa aplikasi penting dalam negara seperti Maybank2u.com untuk menyemak akaun bank dan juga PLUS untuk menyemak bayaran tol. Tidak ketinggalan aplikasi untuk menyemak saman. Terkini, penulis rasakan wajib menggunakan INSTAGRAM kerana ia sangat popular sekarang dan penulis juga peminat fotografi.




Aplikasi seterusnya lebih menjurus kepada hiburan dan juga keagamaan. Kebanyakkan aplikasi permainan yang dipasang adalah untuk anak-anak penulis. Penulis juga memasang aplikasi doa dan pendidikan untuk pembelajaran anak-anak. Jika diperhatikan, penulis ada memasang QR DROID iaitu aplikasi untuk mengimbas kod QR yang semakin popular digunakan dalam pemasaran dan pengiklanan. Aplikasi-aplikasi lain adalah yang berkenaan fotografi iaitu kamera dan editing gambar.

Sebenarnya banyak lagi aplikasi menarik yang anda boleh download melalui Google Play (yang dulunya Google Market) yang boleh memudahkan urusan harian anda. Ada aplikasi yang percuma dan ada juga aplikasi yang berbayar. Semoga aplikasi-aplikasi diatas dapat memberi sedikit inspirasi kepada anda yang mula berjinak menggunakan Android. Insya Allah banyak lagi tips penggunaan Android dan media sosial akan diberikan kepada anda. Jika anda suka artikel ini, sila kongsikan ke media sosial seperti dibawah; 

Selasa, 8 Mei 2012

4 Etika Dalam Menulis dan Berkongsi Maklumat Di Internet

Seringkali kita perhatikan, ramai orang yang menyebarkan maklumat secara bebas di laman-laman internet seperti blog dan Facebook. Maklumat-maklumat ini mudah tersebar dari seorang ke orang yang lain memandangkan kemudahan berkongsi maklumat hanya dengan satu klik atau satu butang. Sebagai pengguna yang bijak kita harus tahu etika-etika untuk menulis dan berkongsi supaya gejala penyebaran maklumat tidak membawa kepada impak negatif. Berikut adalah sedikit panduan bagaimana untuk menulis dan berkongsi maklumat di internet;

1) Jangan melepaskan emosi

Selalunya ramai penulis menjadikan blog mereka sebagai diari online untuk mereka menulis apa yang telah mereka lalui. Sebaik-baiknya, jangan menulis perkara-perkara yang terlalu emosi seperti memaki-hamun, marah dan kecewa. Ada juga yang suka melepaskan perasaan di wall Facebook. Seelok-eloknya tuliskan status yang memberi kebaikan agar orang lain tidak perlu membaca perkara-perkara yang negatif. Jika anda berniaga menggunakan Facebook, status negatif sebegitu akan menjatuhkan kreadibiliti anda sebagai seorang usahawan.

2) Jangan sebarkan maklumat palsu

Sangat menyedihkan kerana sering berlaku pengguna internet menyebarkan maklumat yang palsu. Contohnya gossip-gossip artis atau politik yang kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Elakkan berkongsi maklumat yang anda tidak pasti kesahihannya. Contoh telah banyak berlaku seperti orang yang sakit dikhabarkan telah meninggal dunia sedangkan orang itu masih hidup. Perkara sebegini akan menimbulkan rasa marah dan sedih kepada keluarga dan diri mangsa  sendiri.

3) Jangan mudah percaya sesuatu maklumat

Satu lagi perkongsian yang selalu berlaku adalah maklumat-maklumat yang menyatakan halal-haram atau sah-tidak sah, boleh-tidak boleh dan sebagainya. Di Facebook contohnya, mudah berkongsi maklumat yang menyatakan produk ini tidak halal atau artis ini telah mengandung luar nikah. Mempercayai sesuatu maklumat tanpa membuat kajian dan siasatan akan menyebabkan berita palsu mudah disampaikan kepada semua orang. Oleh itu sebelum berkongsi maklumat, kaji dulu kebenaran maklumat tersebut.

4) Jangan menjatuhkan reputasi orang lain

Penulisan anda juga mestilah telus. Jangan menulis atau berkongsi maklumat yang boleh menjatuhkan reputasi orang lain. Contohnya memburukkan perniagaan atau melakukan sindiran yang memburukkan seseorang individu atau syarikat. Penulisan anda juga tidak perlu menyakiti hati orang lain dengan terus menyebut nama mereka tanpa berlindung. Elakkan berkongsi perkara-perkara yang sensitif seperti masalah rumah tangga dan keluarga.

Panduan ini adalah untuk semua dan peringatan untuk diri penulis sendiri. Biarlah apa yang kita kongsikan dalam internet memberikan kebaikan kepada semua dan bukannya memberikan impak negatif. Teruskan menulis dan berkongsi maklumat dengan penuh etika. Insya Allah masyarakat akan turut menjadi positif. Jika anda suka artikel ini, sila kongsikan ke media sosial seperti dibawah; 

Selasa, 1 Mei 2012

Cara Mengawal Skrin & Fungsi Android Anda


Generasi-generasi muda selalunya tiada masalah dalam menggunakan teknologi baru. Contohnya penggunaan skrin sentuh dalam Android, kanak-kanak tadika pun sudah pandai menggunakannya. Namun bagi golongan lama mungkin agak sukar untuk menyesuaikan diri. Jika dulu ada kalangan mereka ''geli-geli'' untuk memegang tetikus, sekarang muncul pula skrin sentuh yang memerlukan mereka mengetahui banyak perkara baru. Disini saya berikan sedikit tips penggunaan skrin sentuh untuk aplikasi Android supaya dapat memberi sedikit pengetahuan baru. Insya Allah.

1) Tekan dan seret atau tolak : Untuk tatal (scroll) antaramuka ke atas atau ke bawah.

2) Tekan 2 jari dan tolak ke luar : Untuk zoom antaramuka menjadi besar.

3) Tekan 2 jari dan tarik ke dalam : Untuk zoom antaramuka menjadi kecil.

4) Tekan lama (hold) di kawasan kosong : Untuk mengeluarkan menu khas. Disini jika anda ingin menyalin teks, boleh tekan lama pada sesuatu teks sehingga keluar arahan copy paste. Banyak pengguna Android tidak tahu fungsi ini.

5) Tekan lama & seret : Untuk menggerakkan sesuatu aplikasi dalam antaramuka Android

Untuk mengetahui lebih banyak fungsi skrin sentuh Android, anda boleh membaca manual peranti mudah alih masing-masing. Seperti juga Microsoft Windows dalam PC anda, Android juga mempunyai beberapa aplikasi yang boleh dikawal mengikut kehendak pengguna. Anda juga boleh menonton video dibawah untuk contoh-contoh mengawal aplikasi Android anda. Semoga berjaya!


Jika anda suka artikel ini, sila kongsikan ke media sosial seperti dibawah;