Khamis, 30 Disember 2010

Majlis Sana Sini

Ini adalah posting terakhir untuk tahun 2010 dimana sudah masuk tahun keempat penulis dalam dunia blogging. Bulan 12 merupakan bulan yang penuh dengan warna-warni kemeriahan majlis disana-sini. Selain dari majlis kahwin yang mana penulis terlibat secara rasmi sebagai Jurugambar, terdapat majlis-majlis lain yang dihadiri oleh penulis iaitu bersama-sama dengan ahli keluarga.



Majlis keluarga yang pertama adalah birthday bapa mertua dan ulangtahunnya bersama ibu mertua. Dibuat dalam kelompok keluarga yang kecil namun tetap meriah dengan kehadiran ramai anak-anak kecil dan sepupu-sepupu isteri. Majlis makan-makan dilakukan secara santai dan diakhiri dengan acara karaoke beramai-ramai sehingga ke pagi. Bapa mertua juga memberi saguhati kepada ahli keluarganya.

Majlis yang seterusnya adalah majlis tahlil & cukur jambul Nada Hazirah. Majlis yang mulanya dirancang hanya kecil-kecilan dan tidak mengharapkan kedatangan yang ramai telah menjadi meriah dengan kehadiran ramai jemaah masjid dan ahli keluarga. Masakan yang enak oleh emak, kakak dan adik tidak dapat dilupakan dan ada juga jemaah yang telah meminta bungkusan untuk dibawa pulang.



Antara kelebihan dalam membuat majlis sebegini adalah dapat merapatkan lagi hubungan sesama ahli keluarga selain memperingati jasa baik mereka yang sepatutnya. Mereka yang muda perlulah terus menghormati generasi emas dan meneruskan amalan-amalan yang baik yang telah diturunkan oleh golongan tua. Semoga majlis-majlis sebegini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang demi kebaikan.

Jumaat, 24 Disember 2010

BYC Giveaway Contest


Saya ada peluang untuk menang 2 Dirham Kelantan di http://byc.com.my. Brainy Young Caliph, offering ALIMKIds Playgroups, School Holidays Activities, Shaping Up Young Caliph seminars, Breastfeeding talks and WAHM support. Best for both worlds.

p/s : Kalau menang 2 dirham, dapat la lagi tambah simpanan... :)

Khamis, 16 Disember 2010

Hidup Tenang Walaupun Berhutang


Apakah itu hutang? Mesti ramai yang tahu apa itu hutang. Lebih tepat lagi ramai yang tahu dan gemar membuat hutang. Namun ramai yang tidak sedar dengan bahaya hutang. Di dalam islam, hutang dibenarkan untuk kes kecemasan tetapi bukan untuk berbelanja yang tidak sepatutnya sehinggakan sakit apabila hendak membayar. Apabila anda meninggal dunia pula, hutang juga diingatkan oleh orang yang menguruskan jenazah anda dan waris-waris anda perlu melunaskannya. Begitulah hebatnya hutang dalam hidup dan mati anda.

Penulis telah habis membaca satu buku tulisan Shamsuddin Kadir iaitu 'Hidup Tenang Walaupun Berhutang dimana telah banyak memberikan kesedaran dan membuka minda tentang berhutang. Tajuk kecil buku ini sangat menarik iaitu 'kenapa harus pinjam RM50 dan bayar RM500?' telah menjelaskan lagi maklumat tentang bahaya pinjaman terutama bank-bank yang mengenakan faedah. Ramai yang tidak sedar & mengkaji bahaya faedah yang dikenakan bank kita membayar jauh lebih banyak dari yang kita pinjam.

Pada pendapat penulis, point yang paling memberi kesan dalam buku ini adalah hutang menggunakan KAD KREDIT dan SKIM ANSURAN MUDAH. Kedua dua kaedah ini telah banyak menjerat pengguna dan mengakibatkan pengguna gagal atau susah untuk melangsaikan hutang. Hutang PINJAMAN PERIBADI pula antara yang digemari oleh kita tetapi perlulah bijak dalam menggunakan wang tersebut seperti membuat pelaburan dan menjalankan perniagaan. Banyak lagi tips yang anda akan tahu didalam buku ini.

Rumusan setelah membaca buku ini, penulis dapat menetapkan pengurusan kewangan penulis supaya dapat berbelanja dengan lebih bijak. Hutang-hutang sedia ada dapat diuruskan mengikut jadual yang diajar. Seterusnya jangan membuat hutang yang baru agar hidup sentiasa akan tenang. Sebenarnya banyak lagi cara selain berhutang untuk menyelesaikan masalah kewangan anda contohnya mengunakan emas, pelaburan dan sebagainya. Anda mungkin tidak tahu kuasa yang ada pada emas jadi rajin-rajinlah membaca & mengkaji.


Berikut merupakan rumusan oleh penulis buku tersebut. Hidup tenang walaupun berhutang jika...

1. Kawal nafsu
2. Hidup dengan kesederhanaan
3. Belanja ikut belanjawan
4. Beri dulu, baru terima
5. Gunakan pinjaman secara bijak
6. Simpan duit secara berterusan

*p/s - cukuplah kita kayakan bank, ceti & Ah Long...

Jumaat, 10 Disember 2010

Emas & Perak Menjadi Pilihan Untuk Pelaburan & Simpanan


Bermula Oktober tahun ini, penulis telah banyak membaca tentang emas dan perak yang dijadikan sebagai satu pelaburan alternatif. Kerana naluri ingin tahu, minat dalam bidang statistik & pelaburan ditambah dengan pembacaan yang banyak, penulis dapati emas & perak merupakan satu pelaburan yang menarik. Bukan sahaja untuk pelaburan malah mengikut hadis juga, kita digalakkan menyimpan dinar (emas) dan dirham (perak) sebagai satu keperluan pada masa akan datang. Ini kerana dinar dan dirham adalah matawang sebenar islam yang telah digunakan sejak zaman Nabi lagi.

Penulis rasa ramai yang belum tahu sejarah wujudnya wang fiat (wang kertas yang kita gunakan sekarang). Jika anda belum tahu, cuba rajin-rajinkan diri mencari maklumat tentang sejarah wang fiat dan juga cuba baca maklumat-maklumat mengenai dinar dan dirham. Sesungguhnya jika anda menghayati perkara tersebut, anda akan tersentak dan rasa perlu membuat perubahan. Banyak pautan-pautan yang penulis telah link di blog Mencipta Memori ini mengenai emas dan perak. Anda akan tahu dengan lebih mendalam tentang inflasi, sistem kewangan ciptaan US dan juga sistem kewangan digital.


Tersedar dengan maklumat tersebut, penulis telah mengambil langkah dengan membeli emas untuk simpanan & pelaburan. Emas yang dimaksudkan ini bukannya pelaburan GIA atau melalui sistem bank tetapi membeli emas fizikal (yang boleh dipegang) dan kita menyimpannya sendiri. Selain dapat merasakan aura kekuatan emas yang dipegang, anda juga akan sedar yang duit kertas sekarang sangat tidak bermakna manakala nilai emas anda akan meningkat dari masa ke semasa. Emas dan perak fizikal ini boleh dibeli dengan pelbagai syarikat di Malaysia seperti Public Gold, GCP, Poh Kong dan lain-lain.

Rumusan penulis, jika anda ingin menyelamatkan wang anda yang disimpan dibawah bantal, di dalam tabung atau di dalam bank, cuba tukarkan pula dengan menyimpan emas dan perak. Pasti anda akan dapat rasakan kekuatan emas & perak tersebut. Selain pelaburan-pelaburan lain seperti unit amanah & hartanah, tidak salah juga jika anda mencuba pelaburan emas & perak. Namun begitu, jangan letakkan semua telur anda dalam satu bakul, jika jatuh semuanya pecah. Pelbagaikan pelaburan anda dengan menyertai pasaran-pasaran yang bagus diluar sana sebagai satu langkah berjaga-jaga.

Dinar Kelantan memang cantik! Bila agaknya negeri-negeri lain akan mengikuti jejak langkah Kelantan? Gambar dari SINI.

*p/s-Insya Allah, penulis akan kongsikan tips pengurusan kewangan kepada anda pada masa-masa akan datang atas label BIJAK WANG.

Isnin, 6 Disember 2010

Apakah Azam Tahun Baru Anda?

Gambar Hiasan

Pada maghrib hari ini kita akan menemui satu lagi tahun baru dalam islam. Awal Muharam 1432 Hijrah akan muncul dengan pelbagai lagi cabaran baru kepada penulis. Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, penulis telah berazam untuk mencapai sesuatu tahap yang telah ditetapkan dari awal. Dalam waktu ini, sememangnya penulis sangat sibuk dan sakit kepala untuk memikirkan perancangan serta strategi untuk menghadapi tahun baru. Jika ditafsirkan secara kasar, penulis dapat rasakan yang penulis telah BERJAYA mencapai target yang telah ditetapkan pada tahun lepas walaupun tidak sepenuhnya.

Pada tahun ini, penulis telah menetapkan beberapa azam iaitu ingin bekerja dengan lebih keras kerana telah sepenuhnya mengusahakan bisnes sendiri. Apa yang lebih penting, penulis berazam untuk melaksanakan semua perancangan yang telah dibuat. Perancangan tanpa perlaksanaan tidak ada makna juga oleh sebab itu semangat untuk terus bekerja itu sangat penting. Tidak boleh hanya hangat-hangat taik ayam. Jadual seharian, tugasan bulanan & target tahunan perlulah diikuti dengan bersungguh-sungguh. Apa yang penulis harapkan, Allah akan terus memberikan kesihatan & rezeki-Nya kepada penulis.

Untuk keluarga pula, penulis berazam untuk memberikan mereka kebahagiaan dengan sebaik-baiknya. Keluarga amat penting kerana mereka lah yang boleh memberikan semangat kepada penulis. Anak-anak perlu dilengkapkan dengan pelbagai persediaan seperti pendidikan, kesihatan dan lain-lain. Penulis juga merancang untuk membuat atau membeli sebuah rumah untuk masa hadapan. Bagi bisnes pula, penulis merancang untuk membuka sebuah tempat latihan untuk fotografi & rekabentuk grafik. Itu antara harapan-harapan penulis untuk tahun depan namun kita merancang, hanya tuhan yang menentukan.

Oleh sebab itu, penulis menyeru semua, ,marilah kita membaca doa akhir & awal tahun pada petang ini untuk sama-sama mencari keberkatan & keredhaannya. Semoga azam tahun baru penulis dan juga anda semua akan tercapai nanti. Insya Allah.

DOA AKHIR TAHUN


DOA AWAL TAHUN


Maksudnya boleh dilihat DISINI.

*p/s - nanti nak cerita pasal wish list macam tahun lepas...

Ahad, 5 Disember 2010

Pertama Kali Sertai Aktiviti CLAPAM


Beberapa minggu yang lepas penulis telah mendapat surat jemputan dari Persatuan Klef Bibir & Lelangit Malaysia (CLAPAM) untuk datang menyertai aktiviti di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Memandangkan penulis sudah merancang bercuti pada tarikh tersebut maka penulis mengambil keputusan untuk hadir ke majlis tersebut sambil berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Ini merupakan kali pertama penulis menyertai program bersama CLAPAM setelah menyertai persatuan ini lebih kurang setahun yang lalu. Ini merupakan hari yang istimewa untuk Nailah Hana dan ahli keluarga yang lain.

Lokasi kejadian...

En. Zainal Azhar Ahmad, Pengerusi CLAPAM

Aktiviti tersebut dinamakan Spread the Smile with Colours adalah anjuran ING insurans dan CLAPAM yang dibuat di Dasein Academy of Art, Wangsa Maju Kuala Lumpur. Program dimulakan dengan sarapan pagi yang enak dengan 3 menu berlainan. Seterusnya dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu mewarna bagi kanak-kanak dan sesi ceramah bersama Doktor & panel-panel yang berkenaan. Program diakhiri dengan sesi soal jawab dan seterusnya makan tengahari bersama-sama. Tetamu juga dihadiahkan goodies bag dengan pelbagai pemberian yang menarik.

Nailah sangat happy!


Penulis harap selepas ini CLAPAM akan terus melakukan aktiviti-aktiviti menarik terutamanya untuk anak-anak istimewa ini. Maklumat-maklumat berterusan oleh CLAPAM untuk ibu-bapa tetap diharapkan dari masa ke semasa. Bagi penulis, rasa gembira tetap ada apabila dapat berjumpa dengan ibu-bapa dan kanak-kanak istimewa sama seperti anak penulis, Nailah Hana. Dengan program seperti ini ibu bapa dapat meraikan anak mereka dan dalam masa yang sama dapat bersyukur dengan pemberian Allah. Sesungguhnya takdir Allah itu berbeza-beza tetapi yang penting kita perlu bersyukur.

Gambar-gambar lain boleh dilihat DISINI.

*p/s - masih memikirkan untuk NahamPhoto membuat satu program kebajikan bersama CLAPAM. Hmmm