Setelah genap setahun menjalankan tugas sebagai Pengurus di Pusat Jalur Lebar Komuniti (CBC) Teriang Besar, kini sudah tiba masanya penulis membuka satu langkah perubahan yang besar dalam hidup penulis. Impian untuk melakukan tugas tanpa mengikut telunjuk orang lain (dengan erti kata lain, kerja makan gaji) akan termakbul kini. Niat utama penulis tidak lain tidak bukan adalah untuk mencari lebih keberkatan dalam rezeki seharian dimana bekerja sendiri lebih memberi makna berbanding bekerja makan gaji.
Seperti mana penulis pernah katakan dulu samada di blog ini ataupun Facebook, hasrat utama penulis berhenti kerja di KPYPJ pada awalnya memanglah untuk bekerja sendiri dengan menumpukan bisnes bersama NahamPhoto. Bekerja di CBC adalah sekadar mengambil peluang yang ada dan mencari persekitaran baru dalam bidang pekerjaan serta menimba pengalaman. Kini setelah setahun, penulis rasakan sudah tiba masanya untuk menumpukan sepenuhnya kepada bidang perniagaan yang menjadi target utama dalam hidup penulis selama ini.
Ketika pelancaran CBC Lundu di Lundu Sarawak
Selama bekerja di CBC, berbagai pengalaman yang penulis perolehi antaranya persekitaran dalam bekerja di kawasan luar bandar. Bekerja dengan komuniti sememangnya memberikan satu cabaran berlainan dimana penulis perlu berdepan dengan pelbagai karenah manusia disekeliling. Ada yang memberi kerjasama yang baik namun ada juga yang tidak. Segelintir masyarakat tidak mahu mengambil peluang kemudahan yang telah disediakan serta bersikap negatif. Tetapi syabas kepada mereka yang dapat memanfaatkan kelebihan yang diberikan dengan menjadikan ia sebagai satu perkara yang positif.
Bersama Y.B. Ahli Parlimen Mersing di pelancaran CBC Teriang Besar
Selain itu, penulis berpeluang menimba pengalaman dari segi pengurusan dan perkara-perkara melibatkan akaun dan staf. Penulis juga dapat mencurahkan ilmu kepada mereka-mereka yang sudi datang ke Pusat Jalur Lebar Komuniti ini untuk belajar berkenaan dengan ICT. Sangat rugilah mereka-mereka yang lain yang tidak mahu mencebok ilmu dari penulis kerana selepas ini peluang itu sangat terhad. Walaupun penulis telah membuka peluang yang besar untuk belajar selama ini tetapi kesedaran komuniti setempat masih kurang.
Bersama Y.A.B. Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim dan VVIP dari SKMM & DiGi
Kepada rakan-rakan CBC yang lain, penulis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya bersama CBC. Ambillah pengalaman bekerja disini sebagai bekalan anda dimasa hadapan. Terus kental mental dan fizikal dan hadapi cabaran-cabaran yang datang itu dengan sebaik-baiknya. Penulis harap sangat yang kita semua akan dapat terus berhubung diantara satu sama lain. Manalah tahu, kita boleh membuat satu jalinan kerjasama untuk apa-apa bisnes yang berkaitan pada masa-masa akan datang.
Rumusannya, penulis merasa sedih dan gembira. Sedih kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan sekerja tetapi gembira kerana akan mencapai impian. Penulis harapkan agar rakan-rakan semua terus mendoakan kejayaan penulis dalam bidang yang akan usahakan selepas ini. Penulis juga doakan perkara yang sama untuk anda. Untuk posting seterusnya, penulis akan terangkan secara lengkap apa bisnes-bisnes yang penulis akan buat selepas ini selain NahamPhoto. Teruskan bersama penulis tidak kira di blog Mencipta Memori ini atau di Facebook!
2 ulasan:
semoga menjadik usahawan berjaya...amin
Selamat menuju kejayaan, kesenangan dan kebahagiaan
Catat Ulasan