Sabtu, 27 Mac 2010

Melihat Keindahan Di Langit


Hari ini merupakan satu sejarah dalam hidup penulis. Satu sejarah yang mungkin tak akan dapat dilupakan seumur hidup. Ada orang berkata, hanya orang-orang terpilih sahaja yang dapat berpeluang melihat kejadian ini. Wallahualam. Tetapi pada penulis ia adalah satu kejadian yang menunjukkan bukti kekuasaan Allah pada alam semesta dan kita harus mengakui hakikat itu. Kejadian ini hanya satu yang kecil sahaja disisi-Nya, hanya Allah sahaja maha mengetahui.

Ia berlaku dimana penulis keluar dari rumah lebih kurang jam 6.30 pagi. Tujuan penulis keluar adalah untuk ke rumah ibu saudara di sebelah rumah sahaja untuk berjogging bersama sepupu. Dalam perjalanan dikawasan yang lapang tanpa sebarang pokok atau objek-objek tinggi, penulis telah melihat satu bebola api berwarna putih sedang melintasi langit. Bebola api itu bergerak laju dan jelas kelihatan cahayanya telah menerangi langit yang masih gelap ketika itu.



Video ini gambaran lebih kurang yang penulis lihat cuma warna apinya putih. Masa & jarak penglihatan juga lebih kurang sama.

Adakah itu tahi bintang? atau komet? Apapun kejadian lebih kurang 10 saat itu telah membuat penulis tergamam & terpaku. Perasaan bercampur-baur ketika itu. Cantik, aneh, teruja, kagum, terperanjat dan bermacam-macam lagi. Walaupun penulis sedang memegang kamera ketika itu, namun penulis tidak dapat membuat apa-apa seolah-olah telah terpukau melihatnya. Seorang sepupu juga terlihat kejadian itu namun hanya beberapa saat sebelum hilang.

Rumusannya, penulis terasa sangat sedar & insaf dengan kejadian tersebut. Melihat satu fenomena yang indah & sedikit menggerunkan telah menambahkan lagi iman tentang kekuasaan Allah S.W.T. Fenomena itu merupakan satu keindahan dilangit yang hanya dapat dilihat oleh segelintir orang sahaja. Penulis sangat bersyukur kerana menjadi salah seorang yang telah terpilih untuk melihatnya dan ingin mengambil iktibar atas kejadian itu.

Anda juga boleh baca INI.

Ahad, 21 Mac 2010

Apa Lagi Lepas Ni?

Dari sebesar-besar benda sampailah sekecil-kecik benda, semuanya nak pergi/ hilang/ rosak. Benda yang bertahun-tahun kita jaga dan yang kita sayang dengan mudah orang lain musnahkan. Apa mereka ni tak tahu apa itu maksud 'sentimental value' atau barang-barang koleksi? Atau mereka ni banyak duit boleh beli dan buang benda macam tu jer? Atau mereka ni tak tau apa itu kenangan dan tak mahu menyimpan kenangan?


Bermula dangan iPhone, motor, air-cooler, helmet, kereta dan sampai selipar buruk pun orang nak amik. Lepas ni apa lagi agaknya? Lebih baik selamatkan dulu apa yang patut. Lepas ni penulis rasa nak lempang jer siapa yang cakap, "alah, barang koleksi tu setakat simpan jer dalam kotak tapi tak dipaparkan, takde gunanya..", sebab penulis rasa lebih baik simpan jer, dari ditunjukkan tapi orang tak hargai.

*p/s -lepas ni ingat nak beli basikal jer...

Isnin, 15 Mac 2010

Malang Tidak Berbau...


Apa perasaan anda jika anda melihat isteri/ kakak/ saudara anda yang mengandung dilanggar oleh kereta? Tak perlu bayangkan. Berapa kali anda pernah melalui saat cemas, menerima atau melihat sendiri satu situasi kritikal yang melibatkan diri anda? Mampukah anda menghadapi situasi itu dengan baik? Andakah anda selalu bersedia menghadapi segala kemungkinan yang buruk? Bermacam-macam persoalan bermain difikiran.

Pada Ahad, 7 Mac 2010 yang lalu, penulis sedang bekerja di CBC Teriang Besar seperti biasa. Melalui hari yang panas sepanjang hari, tekak terasa sangat dahaga namun kerana bertugas sendirian, terpaksa menahan dahaga tersebut. Penulis mengharapkan ada saudara mara akan datang untuk membelikan air untuk diminum namun tiada kelibat yang dikenali. Nak keluar dari pejabat memang tak boleh kerana pelanggan ramai.


Beginilah nasib motor penulis yang telah banyak berjasa sejak 13 tahun lalu

Jam menunjukkan lebih kurang 5.00 petang, hanya tinggal 1 jam lagi untuk bertahan. Di kepala sudah membayangkan air yang sejuk diteguk. Namun bayangan itu bukanlah perkara yang akan terjadi sebaliknya penulis mendengar satu bunyi yang kuat di luar pejabat. Bhammpp! Semua pelanggan menjengah ke tingkap. Penulis dah dapat agak satu kemalangan telah terjadi. Tanpa berlengah, penulis terus keluar dari pejabat.

Apa yang penulis nampak dulu adalah helmet merah yang sangat dikenali. Paling menyedihkan, penulis nampak isteri sedang terduduk ditepi jalan sambil memegang perutnya. Penulis nampak motor terbongkang diseberang jalan tetapi penulis tak tau apa yang telah melanggarnya. Tanpa berlengah, penulis terus memangku isteri dan melihat keadaan dia. Banyak darah yang keluar dan perkara utama yang difikirkan adalah kandungan dalam perutnya.

Ketika itu bapa mertua penulis ada. Penulis terus mengangkat isteri ke dalam Hilux & bapa mertua terus menghantar ke Klinik Endau. Penulis menggapai kunci, menutup pejabat, memberitahu saudara dan memandu kereta untuk menuju ke Klinik. Sempat juga penulis melihat beberapa orang kampung sedang bergelut dengan manusia yang telah melanggar isteri tadi. Namun itu sudah tidak penting lagi.


Ya.. so nice, pemandu tak berlesen, kenderaan cukai jalan tamat tempoh. Memang cari nahas.

Cerita seterusnya? Rasanya tak perlu dihuraikan dengan lebih panjang. Sekarang ini isteri penulis telah keluar dari hospital, keadaan kandungan baik cuma dia masih belum boleh berjalan. Kemana-mana dengan kerusi roda & perlu dipapah untuk kebilik air. Setelah seminggu kejadian, penulis masih belum buat apa-apa lagi dengan motor penulis. Kini penulis terpaksa kemana-mana 100% menggunakan kereta.

Perkara yang telah berlaku, biarlah ia berlaku. Kita sebagai manusia kena redha atas ujian ini dan perlu mengambil iktibar untuk lebih berhati-hati. Manusia (jika dia benar-benar manusia) zaman sekarang dah ramai yang lupa diri dan sangat mementingkan diri sendiri. Mereka hidup ibarat dunia milik ini milik tok moyang dia. Sejauh mana kita berhati-hati kadangkala tidak memberi makna. Kita juga boleh jadi mangsa mahluk yang durjana ini.

Antara kecederaan yang dialami oleh isteri.

*p/s - berhati-hati dijalan raya...

Isnin, 1 Mac 2010

Jaga Makan?


Baru-baru ini penulis telah ke Johor Bahru untuk menguruskan beberapa perkara penting mengenai NahamPhoto & berjumpa kawan-kawan disana. Setibanya disana, penulis terus dijamukan dengan makanan western dan pelbagai lagi makanan-makanan menarik. Mengenangkan hajat untuk menjaga pemakanan, penulis hanya makan dengan kadar yang sederhana sahaja. Segala nafsu besar perlu diletakkan ketepi demi ingin mencapai target penulis.

Setiap hari penulis hanya makan sedikit nasi dan tidak akan sesekali menambah nasi. Penulis juga tidak mengamalkan minum air manis diwaktu malam. Penulis lebih suka makan buah-buahan dan minum air kosong dengan banyak. Tiap-tiap petang pula penulis akan bersenam dan seminggu sekali berjogging 5km. Begitulah amalan terkini penulis dan kini badan terasa lebih sihat dan dapat melakukan tugas dengan lebih bersemangat.

Ketika sedang makan di Kolej Komuniti Johor Bahru bersama Kaff, Anor & Mus

Sejak akhir-akhir ini penulis agak mengambil berat soal pemakanan. Dengan umur yang semakin meningkat, pemakanan yang baik adalah satu cara untuk kita menjaga kesihatan dimasa hadapan. Ditambah pula dengan senaman yang mencukupi, ia akan lebih membuatkan badan kita menjadi lebih sihat. Ada pelbagai pandangan mengenai soal pemakanan ini namun penulis mempunyai beberapa aspek yang selalu ditekankan seperti WAKTU PEMAKANAN.

Penulis tidak berapa kisah mengenai pukul berapa untuk sarapan tetapi penulis agak serius tentang waktu makan tengahari & malam. Kebiasaannya penulis perlu makan tengahari tidak lebih jam 2 petang & tidak lebih jam 8 untuk makan malam. Ini adalah jadual makan yang penulis amalkan. Lebih-lebih lagi sebelah malam, sangat tidak bagus untuk makan lewat malam apatah lagi untuk bangun diwaktu malam semata-mata untuk 'mengeteh'.


Makanan lazat seperti ini memang susah untuk ditolak. Kuatkah semangat anda untuk menjaga pemakanan?

Bagi penulis, jadual pemakanan seperti diatas adalah penting kerana mengikut kajian makanan akan hadam sepenuhnya dalam masa 2 jam bermakna ia akan bertukar menjadi tenaga dan sebagainya dalam masa 2 jam. Fakta ini telah digunakan oleh penulis semasa mengambil SPM dahulu dimana penulis akan makan malam jam 7 petang dan mula belajar jam 9 malam. Ia memang memberikan kesan yang positif kepada minda terutamanya kepada pelajar.

Dari segi kualiti kerja juga ada memainkan peranan. Contohnya jika penulis terlewat makan tengahari jam 3 petang, jam 1 tengahari perut sudah terasa lapar, 1-3 petang (2 jam) kerja sudah tidak produktif kerana kelaparan. Bila sudah makan jam 3 petang, perlu tunggu 2 jam lagi untuk kerja jadi produktif bermakna jam 5 petang dimana ia adalah waktu-waktu kemuncak untuk balik kerja. Ini bermakna waktu kerja yang berkualiti hanyalah dari jam 8-1 sahaja.


Chef of the day tempohari. Tq Syah atas masakan yang hebat!

Akhir kata, terpulanglah kepada pandangan masing-masing. Mungkin ada yang tidak setuju dengan apa yang penulis sampaikan dan mempunyai tabiat makan anda sendiri. Namun apa yang penulis sampaikan adalah berdasarkan pengalaman penulis sendiri selama ini. Jika anda inginkan kualiti dalam hidup anda, carilah cara dan 'teknik' yang betul yang boleh memberikan keputusan yang positif. Fikir-fikirkanlah...

*p/s - penulis dah dapat turunkan 3 kg bulan lepas dan terasa sangat sihat. Alhamdulillah...