Selasa, 28 April 2009

Bloggertiam.com Dilancarkan...


Seperti yang diwar-warkan beberapa minggu yang lepas, penulis mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan kepada pembaca semua, satu blog baru yang dibina khas untuk anda. Blog ini merupakan satu projek dibawah NahamPhoto yang akan memaparkan maklumat-maklumat semasa, gambar serta video yang mungkin tidak pernah anda lihat. Ia merangkumi semua kategori yang melibatkan semua golongan masyarakat.

Blog ini juga akan memaparkan temubual-temubual dengan blogger-blogger di Malaysia atau negara jiran sebagai satu trademark uniknya. Anda juga akan diperkenalkan dengan pelbagai blog yang ada didalam dunia internet. Memaparkan konsep 'kopitiam' dimana anda akan mendapat informasi yang menarik, terkini, panas dan sinis yang selalu disembangkan bersama rakan-rakan sambil bersantai meminum kopi.

Blog ini masih dalam peringkat ujian & masih belum mempunyai logo namun anda sudah boleh melayarinya tanpa masalah. Mengikut perancangan, blog ini akan dikemaskini hampir setiap hari dan akan dikendalikan oleh beberapa orang ahli. Akhir sekali, diharap blog ini akan memberikan input yang baik untuk anda dan anda boleh memberitahu rakan-rakan anda dengan memberikan URLnya iaitu www.bloggertiam.com.

Khamis, 23 April 2009

Na'wa Belajar Mengaji!

Malam ini merupakan hari pertama Na'wa belajar mengaji. Walaupun agak malu, terpinga-pinga & degil pada permulaan, akhirnya dia dapat menerima untuk belajar. Katanya nanti dia hendak mengaji dengan Uncle Kafi (sebenarnya emak kafi yang mengajar kanak-kanak mengaji) yang dia nampak semasa penulis singgah dirumah kaff minggu yang lepas.

Kepada pembaca yang lain, anda tentu teringat dengan siapa dan bagaimana anda mula-mula belajar mengaji dahulu. Penulis sendiri pernah mengayuh basikal lebih kurang 3 km bersama Kakak untuk belajar mengaji semasa di sekolah rendah. Walaupun sedikit 'bebal' (kerana kenakalan yang terlampau), namun pembelajaran itu tetap menjadi titik permulaan mengenali Al-Quran.

Pada zaman ini, bagaimanakah kesedaran ibu-bapa dalam mendidik anak-anak dalam membudayakan Al-Quran? Jika di Johor, mungkin kesedaran masih kuat dengan adanya sekolah agama dan program-program kerajaan negeri. Namun, jika anda lihat sekeliling anda, berapa ramai orang yang boleh mengajar anak-anak kita mengaji dirumah ataupun disurau? Boleh dikira dengan jari.

*p/s-bertuah dapat berkawan dengan En. Kaff sebab ibunya boleh mengajar anak-anak mengaji.

Lepas Tangan...

Dalam satu masa, anda mungkin akan mengalami perkara ini. Ia selalunya berlaku apabila anda berada dibawah. Orang yang berkedudukan, mempunyai kuasa selalunya akan takbur dan suka menindas orang yang dibawah. Mudahnya menjadi seseorang yang berpengaruh, meletakkan bebanan kepada orang lain. Adakah cukup dengan 'SABAR' boleh melepaskan masalah ini?

Gambar ini tiada kaitan dengan sesiapa yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia.

Penulis berpesan kepada diri sendiri dan anda semua, JANGAN LEPASKAN TANGGUNGJAWAB ANDA KEPADA ORANG LAIN. Sesungguhnya ia sangat memeritkan bagi yang menerima bebanan tersebut.

Jumaat, 17 April 2009

Jogging Meningkatkan Stamina

Sekadar gambar hiasan

Jumaat, 3 April yang lalu, penulis telah menyertai perlawanan persahabatan futsal YPJ dengan satu pasukan di Johor Bahru. Ini merupakan perlawanan pertama setelah hampir setahun tidak bermain kerana kesibukan kerja & urusan keluarga. Ternyata, ketika bermain tidak sampai 3 minit, penulis terasa seperti hendak pitam & penat yang teramat sangat.

Stamina penulis semasa Sukan YPJ tahun lalu telah berkurangan dengan mendadak sekali. Sukan ringan yang selalu dilakukan seperti ping-pong ternyata tidak sama dengan bermain futsal yang sentiasa berlari kesana-sini. Penulis perlu berbuat sesuatu sebelum tiba waktunya Pesta Sukan Antara Yayasan Se-Malaysia (PESAYA) ke-10 di Pahang Jun nanti.

Apa yang penulis lakukan adalah mencari maklumat di internet tentang bagaimana meningkatkan stamina dalam badan kita. Selain rutin utama iaitu jogging, tip-tip lain yang diperolehi adalah dari segi pemakanan iaitu sarapan dengan roti & tuna, makan tengahari dengan semangkuk kecil nasi, seketul ayam, minum air berherba dan makan buah seperti pisang.

Mengenai jogging pula, ramai yang mengesyorkan untuk jogging setiap hari dan berehat selama 2 hari. Akhirnya penulis mengambil keputusan untuk berjogging di Bukit Indah, J.B. Penulis menetapkan matlamat berlari tanpa henti dalam satu pusingan dengan mengambil masa terpantas. Ini kerana futsal memerlukan kestabilan antara stamina & kepantasan.

Ini adalah catatan yang penulis dapat selama 5 kali (*updated) berjogging
(1 pusingan tanpa henti);

6 April – 4 minit 49 saat (tak sangka boleh buat bawah 5 minit)
9 April – 4 minit 34 saat (peningkatan mendadak dari yang pertama)
13 April – 4 minit 35 saat (turun sikit sebab laju diawal larian, penat rupanya)
15 April – 4 minit 29 saat (hasil dari kawalan awal larian & laju dihujung larian)
17 April - 4 minit 37 saat (turun sikit, hari jumaat tak boleh jogging kot.. :) )

Selepas ini, penulis bercadang mengambil catatan masa berapa lama dapat berlari tanpa henti pula dengan harapan agar stamina dapat dipulihkan dalam masa yang singkat ini sebelum kejohanan bermula. Kepada rakan-rakan lain yang terlibat dengan PESAYA ke-10, jangan lupa untuk berjogging & menjaga pemakanan kerana ia akan membantu anda kelak. Semoga berjaya!

*p/s-penulis sudah meletakkan countdown PESAYA-10 dibawah kalendar islam blog ini.

Jumaat, 10 April 2009

Pengiklanan Di Blog

Ada orang yang mengatakan berblogging ini hanya membuang masa. Mungkin ia memang betul jika penulis blog itu sekadar suka-suka menaip tanpa ada hala tuju. Jika penulis blog pandai menggunakan peluang, pelbagai perkara boleh dilakukan dan ada kalanya boleh membawa pulangan dari segi kewangan. Apa yang penulis ingin nyatakan disini adalah bagaimana cara anda boleh mendapat duit melalui pengiklanan di blog anda.

Ada beberapa syarikat di Malaysia yang menyediakan khidmat pengiklanan ke blog-blog anda seperti;

1) Advertlets


Merupakan antara syarikat iklan internet yang paling berpengaruh di Malaysia selain Nuffnang. Anda boleh mendaftar dan mendapatkan script iklan untuk diletakkan ke dalam blog anda. Iklan yang diklik oleh pengunjung anda akan diambil kira. Jika nilai anda sudah mencapai angka yang telah ditetapka seperti RM100, anda akan menerima cek daripada mereka.

2) Nuffnang


Syarikat ini juga telah dikenali dikalangan blogger-blogger di Malaysia. Sama seperti Advertlets, anda boleh meletakkan iklan-iklan mereka ke dalam blog anda. Mereka pula ada menyediakan khidmat-khidmat lain seperti poll dan anda pula perlu mengisi beberepa survey mengenai blog anda.

3) Admax Network


Antara dua syarikat pengiklanan internet diatas, terdapat satu lagi syarikat yang dikenali di Malaysia mahupun asia. Syarikat ini memberikan kita pilihan samada mahu menjadi publisher atau advertiser. Namun penulis masih belum mencuba perkhidmatan yang diberikan oleh mereka.

Ada beberapa lagi perkhidmatan iklan internet yang lain seperti performancingads.com dan google adsense yang memerlukan anda mempunyai blog bahasa inggeris. Namun, jika anda ingin BERJAYA dengan pengiklanan blog ini, anda perlulah meningkatkan traffik blog anda, memberikan input-input yang baik supaya ramai pelawat akan melawat blog anda.

Terpulang kepada pilihan anda, jika anda tidak ingin berblogging untuk sesuatu yang 'kosong', anda tidak akan dapat apa-apa faedah. Jika anda pandai mengambil peluang, begitu banyak peluang yang telah terbuka di dalam internet. Semua bergantung kepada anda. Selamat berblogging!

Isnin, 6 April 2009

Na'wa Hadirah Kini 4 Tahun

Pada hari Jumaat yang lepas (3 April 2009) adalah hari lahir Na'wa Hadirah yang ke-4. Isteri telah membuat majlis ringkas di Tadika Hikmah YPJ, Tampoi Utama, Johor Bahru bersama-sama kawan-kawan Na'wa. Berikut antara gambar yang diambil oleh isteri;

Na'wa malu-malu potong kek...

Kek yang ringkas...

Kawan-kawan Na'wa tak sabar merasa kek...

Kepada Na'wa Hadirah, ayah ucapkan selamat hari lahir & kurangkan kenakalanmu. Semoga panjang umur dan menjadi anak yang solehah.

Khamis, 2 April 2009

Meneruskan Kerjaya & Hobi

Ramai diantara kita yang sayangkan kerjaya kita & ada juga yang terlalu teruja dengan hobinya. Ada orang yang sanggup membujang kerana menumpukan kerjaya namun ada juga yang sanggup meninggalkan anak isteri kerana hobi. Ramai yang bergantung kepada kerjaya untuk menyara hidupnya namun ada juga yang terpaksa menggunakan hobi sebagai pendapatan sampingan untuk sesuap nasi. Antara kerjaya & hobi, perlulah ada keseimbangan supaya hidup kita lebih teratur.

Majlis berzanji & bercukur Nailah di Endau dua minggu yang lalu...

Mac lepas adalah bulan yang sibuk bagi penulis dengan tugas-tugas pejabat, menguruskan aktiviti-aktiviti NahamPhoto & urusan lain. Bermula minggu pertama ke Kuala Lumpur iaitu majlis perkahwinan sepupu, minggu kedua ke rombongan perkahwinan di Terengganu, minggu ketiga mengambil gambar pengantin di Johor Bahru, minggu keempat ada majlis cukur jambul anak di Endau dan minggu kelima mengajar kursus fotografi di Johor Bahru.

Gambar model Kursus Asas Fotografi di Johor Bahru minggu lalu...(menggunakan available light tanpa sebarang editing)

Walaupun tanpa rehat yang panjang, kita perlu bersemangat meneruskan kehidupan yang mencabar ini. Bulan baru ini pelbagai cabaran akan dihadapi dan kita mesti bersedia dalam apa jua keadaan. Perancangan adalah salah satu perkakasan yang perlu kita lakukan supaya perjalanan tugas kita lebih teratur. Kesimpulannya, kerjaya atau hobi, dua-dua perlu diteruskan selagi itu menjadi keperluan kita. "Tiada Kejayaan Tanpa Pengorbanan"

*p/s- semua yg berminat dijemput menyertai aktiviti bersama penulis iaitu outdoor photography, 25 April nanti!