Ahad, 15 November 2009

Terima Kasih KPYPJ...

Antara gambar terawal diambil di KPYPJ. Dari kiri penulis, Pn. Mardziah, Andik (praktikal), Rafee, Maria (praktikal), Ust. Wan & En. Jamal

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada semua warga kerja KPYPJ,

Pada 1 Mac 2004, penulis datang melapor diri ke KPYPJ sebagai Pegawai Sistem Maklumat. Ketika itu penulis menggantikan seorang staf bernama Hanizam, dialah orang pertama yang menelefon penulis dan memberi penerangan selama sebulan sebelum dia menghabiskan cuti. Tempat pertama penulis adalah di level M, Wisma YPJ Holdings bersama 2 lagi rakan sekerja iaitu Shahrudin & Shahrul.

Unit Komputer ketika itu dibawah Bahagian Korporat bersama Unit latihan dan Pengarah Korporat ketika itu adalah En. Jamaluddin Hamzah. Disitu penulis mengenali Kafi, Halim, Rafee, Ustaz Wan daln lain-lain. Walaupun baru bekerja ketika itu, namun level M begitu mesra dengan gelagat selamba En. Jamal & perangai gila-gila kami. Begitulah antara sejarah awal penulis ketika bersama KPYPJ.

Bulan demi bulan, tahun demi tahun, penulis telah lalui pelbagai pahit manis sebagai seorang pekerja. Pernah bertukar Jabatan seperti Kredit & Korporat, melakukan pelbagai kerja didalam dan diluar pejabat. Melalui pelbagai pahit jerih keadaan yang mendatang. Semua pengalaman itu menjadi sesuatu yang bernilai bagi penulis kerana ia menjadikan penulis lebih matang dalam kehidupan.

Antara kenangan manis bekerja di KPYPJ adalah dapat duduk bersama dalam mesyuarat BOD bersama Menteri Besar & Ahli Lembaga Pengarah yang lain walaupun hanya sekadar pemerhati. Kenangan-kenangan lain adalah dapat pergi ke tempat-tempat yang belum pernah dijejaki seperti Taman-Negara Endau Rompin melalui kursus-kursus & bengkel-bengkel yang pernah diikuti.

Dalam manis ada pahitnya. Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah dibaling kabel oleh seorang Pengarah di khalayak ramai. Itupun atas kerja hari Isnin yang diberitahu kepada penulis pada hari Ahad, satu masa yang sangat "panjang" untuk membuat persediaan. Pengalaman pahit lain adalah di herdik atas kerja sukarela yang penulis lakukan, juga dikhalayak ramai.

Semasa di level M, Level M adalah level paling meriah satu ketika dahulu...

Penulis juga pernah melalui saat yang "down" dalam hidup ketika bekerja. Pernah ada "mereka" yang tidak faham dengan situasi penulis ketika bersedih tentang kelahiran Nailah Hana. Pernah juga kehilangan jam & beberapa barang mahal di pejabat (siapa lagi yang ada di pejabat melainkan rakan sekerja...) & pelbagai lagi karenah rakan sekerja. Namun semua itu tidak melemahkan semangat penulis untuk terus bekerja.

Namun begitu, penulis ingin mendedikasikan ucapan terima kasih kepada beberapa rakan seperti rakan karib, Kaff yang telah banyak membantu penulis tidak kira urusan kerja mahupun peribadi. Paling tidak dilupakan membantu penulis menguruskan urusan kereta panulis yang ditarik. Sanggup bersusah payah menghantar penulis kesana-kemari tanpa bersungut. Semoga jasa dan hati murni beliau dibalas Tuhan.

Seterusnya terima kasih juga diucapkan kepada Halim & Farhat, rakan sarapan penulis yang juga banyak membantu dalam urusan kerja. Halim juga pernah membantu menunjukkan jalan ke rumah pengantin di Muar. Tidak lupa juga kepada Anipah & Adik yang menhantar penulis pergi & balik dari J.B-Muar-Ayer Hitam ketika kereta penulis mengalami kemalangan. Tidak lupa Adiem yang menolong menghantar gambar.

Seterusnya terima kasih didedikasikan kepada Kak Asnah, Fiza & Sha yang pernah menghantar penulis pulang jika hari Hujan/ motor rosak. Tidak lupa kepada En. Shahrim, Ustaz Mizi & En. Supaat yang selalu belanja makan dan En. Zahid yang selalu memberi peluang gambar dipaparkan dalam media cetak. Tidak dilupakan Misna yang selalu turun J.B. bersama Anipah untuk meraikan penulis & geng P&P.

Seterusnya terima kasih kepada Kak Nani & Kak Zu yang selalu menghidangkan makanan lazat, kepada Rafi, Angah, Aju, Apai, Boy, Khalid serta team Zapin yang lain. Terima kasih juga kepada pasukan kompang, futsal, PESAYA, JPA3, rumah Simbang, PS2, Blogger-blogger, P&P serta semua kawan-kawan lain di KPYPJ yang tidak disebutkan. Semoga semua bantuan yang kalian berikan akan mendapat balasan Allah.

Kini semua tinggal kenangan...Dulu Hanizam pernah kata, kerusi Unit Komputer memang panas, jarang yang akan kekal lama...

Kini 30 November 2009, penulis akan meninggalkan KPYPJ setelah 5 tahun 8 bulan memberikan khidmat & mencari rezeki. Segala kenangan dan kawan-kawan akan ditinggalkan dan cabaran baru akan digalas. Adat di dunia setiap pertemuan ada perpisahannya dan kadangkala perpisahan itu tidak dapat dielakkan lagi walaupun kita terlalu sayangkan sesuatu perkara.

Akhir kata, peninggalan penulis dari KPYPJ tidaklah bermaksud kita akan terputus hubungan. Semoga hubungan ini dapat diteruskan lagi dan kita tidak melupakan antara satu sama lain. Penulis mendoakan agar semua rakan-rakan akan berjaya dan KPYPJ akan maju pada masa-masa akan datang. Penghijrahan ini adalah satu pengorbanan kerana "Tiada Kejayaaan Tanpa Pengorbanan"....

*p/s- Teruskan berblogging, teruskan bekerja, jangan lupa Reds, jangan lupa NahamPhoto... Slmt tinggal KPYPJ...

Rabu, 11 November 2009

Hari Ini Hari Terakhir...

Familiar with this pic?

Hari ini adalah hari terakhir penulis bekerja di KPYPJ. Setelah ditolak cuti tahunan, berakhirlah khidmat penulis disini secara rasminya. Berbagai-bagai perasan bercampur-baur mengenangkan hari ini terpaksa meninggalkan tempat yang lebih 5 tahun dihuni. Lumrah kehidupan, setiap permulaan ada pengakhirannya.

Dua tiga minggu ini ramai kawan-kawan yang bermurah hati mengajak dan belanja penulis makan. Tidak kira sarapan, makan tengahari mahupun makan malam, ada sahaja yang mengambil peluang makan bersama-sama. Ternyata kawan-kawan di KPYPJ begitu pemurah & baik sekali kepada penulis. Salah satu sebab perasaan ini sedikit pilu.

Semalam, dengan tidak dijangka penulis telah diraikan oleh kawan-kawan satu pejabat di waktu petang. Sedikit jamuan ringan mengiringi majlis ringkas dengan ucapan En. Zahid, En. Shahrim & En. Sa'dullah. Seperti biasa Adik adalah tok dalang dalam majlis ini bersama kawan-kawan di Jabatan Pentadbiran.

Jumaat ini, penulis dijemput lagi untuk majlis perpisahan rasmi peringkat KPYPJ & HQ Club. Jemputan ini adalah acara terakhir yang akan dihadiri penulis di KPYPJ. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua yang telah bersusah payah melaksanakan majlis ini. Hati budi kalian tidak akan penulis lupakan...

*p/s- Akan datang - Ucapan khas penulis untuk semua staf KPYPJ.

Isnin, 2 November 2009

Cenderahati Dari Jepun


Actually bukan dari Jepun (hehe jangan marah) tapi dari pelajar Taka High School, Japan yang datang melawat Kolej Islam Johor & Kolej Komuniti YPJ Johor Bahru, di Johor Bahru tempohari. Ini bukannya lawatan pertama yang dibuat oleh mereka namun sudah beberapa kali melakukan lawatan cuma kali ini bilangannya agak ramai.


Cenderahati yang penulis dapat ini merupakan hasil dari permainan "shun ji" (kalau tak silap la sebutannya) dimana kita menulis sesuatu dalam tulisan rumi di kertas khas dan mereka menulis dalam tulisan ala-ala khat Jepun. Penulis tidak melepaskan peluang dengan meminta mereka menulis nama penulis dalam tulisan Jepun.

Selain itu, penulis juga menulis perkataan "MACROSS" iaitu kartun Jepun kegemaran penulis di atas kertas dan mereka menulisnya dalam tulisan Jepun. Pulang ke rumah, penulis membandingkan tulisan tersebut dengan kotak figurine koleksi penulis. Ternyata tulisannya memang sama 100%. Hebat!

Bila tanya budak Jepun tu tau tak citer "Macross", dia x tau. Tp bila suruh tulis dia tuliskan ini...

Sama kan? Apsal nama "Harris" tu cam complicated tulisannya x macam "Macross" ni? Hehe

Aktiviti sebegini antara keistimewaan apabila bekerja di KPYPJ. Namun tidak lama lagi penulis akan meninggalkannya. Di tempat baru, mungkin perkara sebegini tidak dapat diperolehi lagi, tetapi pengalaman-pengalaman baru akan muncul pula. Kepada pelajar yang memberi cenderahati ni, Arigato!


*p/s - Asuhara : jgn jeles k! Hehe