Selasa, 26 Jun 2012

Berehat Seketika Dari Menulis Blog Sempena Ramadan & Aidilfitri


Assalamualaikum semua pembaca! Disini penulis ingin umumkan yang blog ini mungkin kekurangan posting dalam bulan Julai & Ogos kerana penulis menumpukan kepada pembangunan satu laman web e-dagang iaitu www.lovethatshawl.com. Penulis juga akan sibuk dengan urusan bisnes dibulan Ramadan dan menyambut hari raya nanti. Tetapi jika ada kesempatan dan idea, penulis akan cuba masukkan juga posting baru untuk usahawan internet diluar sana. Mungkin pada posting-posting akan datang penulis kongsikan bagaimana untuk membangunkan laman web e-dagang yang mudah menggunakan Open Cart. Teruskan bersama penulis!

Selasa, 19 Jun 2012

Pertempuran Samsung & Apple. Android vs IOS

Jika anda membaca Mingguan Malaysia Ahad lepas, pasti anda ada terbaca tentang artikel ini dalam ruangan Tekno. Persoalan anda mengenai mana yang lebih bagus antara Samsung & Apple mungkin akan terjawab dengan membaca artikel ini;


Dua syarikat telekomunikasi gergasi Samsung Electronics Co. dan Apple Inc. kini berlumba-lumba memberikan yang terbaik untuk memikat hati pelanggan.

Masing-masing menawarkan keluarga peranti dengan menggunakan platform berbeza dan kaedah pemasaran yang menarik.

Persoalannya siapakah akan kekal memegang takhta untuk tahun-tahun akan datang?

Seperti diketahui, Apple hanya mengeluarkan satu telefon pintar dan satu tablet setiap tahun selain menggunakan platform yang dibangunkan sendiri secara dalaman.

Perkara ini memberikan Apple lebih kawalan dan pada masa sama mengoptimumkan peranti mereka dengan menyeluruh bagi telefon pintar dan juga tabletnya sendiri.

Populariti iPhone dan juga iPad amat meluas, sehingga memberikan tekanan kepada pelbagai pengeluar peranti yang lain.

Samsung pula menggunakan strategi berbeza dalam mengukuhkan kedudukannya dalam arena industri peranti mudah-alih.

Samsung mempunyai pelbagai jenis tawaran peranti, memfokuskan bukan sahaja pada peranti dengan spesifikasi tinggi bahkan spesifikasi rendah bagi membolehkan semua pihak memiliki telefon pintar.

Ia menggunakan pelbagai platform termasuk BadaOS, Android, Windows Phone dan akan datang - Tizen. Kini Android amat popular berbanding yang lain.

Kedua-dua gergasi semakin popular dari hari ke hari, masing-masing mempunyai penyokong tersendiri.

Selain perang antara peminat, kedua-dua gergasi ini sering bertemu di mahkamah melibatkan beberapa kes saman.

Sekali lagi persoalannya, siapakah yang akan memenangi persaingan ini? Atau adakah kedua-duanya akan kekal sebagai dua nama besar dalam industri peranti mudah-alih dunia?

Apple dan Samsung seharusnya jelas bahawa industri telefon pintar semakin terbahagi kepada ada atau tidak.

Kedua-dua syarikat dijangka melaporkan rekod pendapatan masing-masing untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebahagian besarnya hasil kekuatan jualan telefon pintar.

Tidak syak lagi, kedua-dua syarikat gergasi ini berjaya menguasai hampir separuh pasaran telefon pintar, meninggalkan pesaing lain seperti Nokia Corp., HTC Corp. dan Research In Motion Ltd. (BlackBerry).

Apple dan Samsung, musuh dari dua benua berjaya menggunakan ‘senjata’ yang sangat berbeza.

Apple, syarikat yang paling berharga di dunia, menjual hanya satu telefon iaitu iPhone.

Syarikat Cupertino, California, menekankan reka bentuk dan keuntungan ke atas jualan, selain banyak melabur dalam jenama pengguna dan kedai-kedai runcit yang dikawal ketat.

Syarikat berkenaan mendapat faedah daripada ekosistem perisian dan aplikasi yang kukuh.

Sementara itu, Samsung adalah syarikat teknologi terbesar di dunia mengikut skala perolehan tahun lepas.

Syarikat Korea Selatan ini cepat belajar, membuat pertaruhan dengan mewujudkan versi pelbagai produk seperti telefon pintar Galaxy untuk memenuhi citarasa pengguna. Ia memaksimumkan keuntungan dengan mengawal pengeluaran sendiri.

Samsung membuktikan ia mampu untuk terus mara dengan pelbagai model daripada yang ringkas kepada paling canggih seperti Galaxy Notes dan Samsung Tab.

Pasaran

Menurut firma penyelidikan International Data Corporation (IDC), Apple dan Samsung masing-masing hampir menguasai 25 peratus pasaran global bagi telefon pintar yang dianggarkan mencapai AS$219 bilion dalam jualan tahun ini.

Bahagian pasaran Apple mencapai 23.5 peratus, meningkat 16 peratus berbanding akhir 2010.

Samsung pula memegang 22.8 peratus daripada pasaran suku yang sama, meningkat daripada 9.4 peratus.

Sebuah firma penyelidikan pasaran yang berpangkalan di London, Strategy Analytics melaporkan, gabungan Apple dan Samsung bakal merebut 91 peratus daripada keuntungan operasi semua pembuat telefon bimbit pada suku keempat.

“Pada peringkat ini, ia tidak kelihatan seperti kedua-duanya akan beralah," kata seorang penganalisis teknologi di Credit Suisse di Hong Kong, Manish Kaun.

Perjuangan untuk menjadi yang terbaik mencetuskan pertempuran antara Apple dan Samsung.

Pada April tahun lalu, Apple menyaman Samsung kerana paten reka bentuk dan telefon pintar.

Samsung menyerang balas dan pertempuran undang-undang mereka merebak ke mahkamah di sembilan buah negara.

Bekerjasama

Bagaimanapun kedua-dua gergasi juga telah belajar untuk bekerjasama antara satu sama lain.

Apple adalah pelanggan terbesar bagi bahagian komponen Samsung yang membuat skrin paparan dan cip.

Pertempuran dalam perundangan tidak memperlahankan jualan atau prestasi kewangan syarikat masing-masing.

Kedua-duanya, Apple dan Samsung enggan mengulas mengenainya.

"Ia tidak akan menjadi perlumbaan dua gergasi selama-lamanya," kata Ketua Penyelidikan bagi Bank Pelaburan Rutberg & Co, Rajeev Chand.

Beliau mencatatkan bahawa pemain yang lebih kecil seperti pembuat peralatan telekomunikasi, Huawei Technologies Co. bakal berkembang walaupun pada skala kecil.

“Industri telefon telah dicorakkan dengan kitaran produk yang bergerak pantas dan jika satu kitaran terlepas, menyebabkannya tergelincir.

"Industri ini bergerak dalam kitaran di mana beberapa syarikat menguasai beberapa ketika dan kemudian diganti dengan yang lain," kata Pengarah Eksekutif di Strategy Analytics, Neil Mawston.

"Pada tahun 1980-an, Motorola menerajui pasaran telefon bimbit, diikuti Ericsson dan menjelang 2000 Nokia mengunggulinya. Kini, masa Apple dan Samsung."

Pemain industri berkenaan sedang mengambil langkah berjaga-jaga untuk bertindak balas terhadap peningkatan penguasaan kedua-dua syarikat.

Momentum Samsung semakin menarik dengan penganalisis menjangkakan syarikat berkenaan, bergantung sepenuhnya kepada telefon yang dijana oleh perisian Android Google Inc., untuk menggandakan bilangan penjualan telefon pintar tahun ini.

Berdasarkan maklumat IDC, tahun lepas, Samsung menjual 94 juta unit berbanding 93.2 juta unit Apple.

Samsung telah dapat merebut pasaran pengganti Nokia dengan membawa pelbagai sistem operasi dan apabila muncul Android dengan meletakkan lebih banyak aplikasi yang menggunakan perisian berkenaan.

Samsung menggunakan strategi yang sama apabila produk elektronik yang lain, seperti televisyen dan pemain DVD melalui peralihan teknologi.

Samsung juga telah mendapat manfaat daripada keinginan menawarkan alternatif kepada iPhone, memberikan mereka lebih banyak produk untuk dipamerkan di kedai dalam beberapa kategori harga.

Seperti Apple, skala Samsung membolehkan ia membayar harga yang lebih rendah bagi komponen daripada pesaing.

Samsung telah mencipta lima peringkat telefon berasaskan Android yang dibezakan oleh harga dan ciri-ciri dengan setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri.

Sumber dari SINI.

Selasa, 12 Jun 2012

Kepentingan Menulis Bagi Usahawan Internet (Pengalaman Sendiri)


Menulis mungkin merupakan satu perkara yang kita tak biasa buat atau tidak berapa mahir untuk melakukannya. Namun menulis merupakan satu perkara yang banyak memberi manfaat. Tidak kira sesiapa pun, mereka perlu menulis sekurang-kurangnya diari sendiri ataupun mencatat pembelanjaan harian. Bagi usahawan internet pula, menulis merupakan salah satu kemahiran yang perlu ada kerana majoriti mereka menggunakan platform internet yang mana pelanggan membaca & melihat. Oleh itu, mereka perlu menulis untuk membuat perancangan, promosi dan sebagainya.

Berikut penulis kongsikan beberapa perkara yang penulis lakukan mengenai penulisan dalam kehidupan seharian;

1) Menulis perancangan tahunan dalam planner

Ini telah lama penulis praktikkan dimana penulis akan membeli sebuah planner yang ada ruangan bulanan satu muka penuh dan juga tahunan satu muka penuh. Pada setiap penghujung tahun, penulis akan membuat perancangan tahunan untuk tahun seterusnya.

2) Menulis petancangan bulanan dalam planner

Setelah membuat perancangan tahunan, setiap hujung bulan, penulis akan menyenaraikan tugas-tugas yang perlu dilakukan dalam bulan akan datang. Ini termasuklah jadual untuk mengemaskini blog dan menaip e-book (jika ada).

3) Menulis keutamaan (priority) tugas yang disenaraikan

Jika sudah menyenaraikan tugas, adalah penting untuk menetapkan kepentingan tugas mana yang perlu dilakukan dahulu dan mana yang perlu dilakukan kemudian. Ini bagi memastikan tugas penting tidak ketinggalan dan akan selesai dengan cepat.

4) Menulis idea 'on the spot' dalam buku catitan

Kadangkala penulis mendapat idea secara tiba-tiba dan idea tersebut tidak dibiarkan begitu saja. Penulis akan membuat catitan dalam satu buku. Apabila ada masa terluang, idea tersebut akan disusun semula untuk melihat adakah ia dapat diserapkan dalam tugas-tugas utama penulis

5) Menulis perkara-perkara yang dah lepas

Ini bukanlah diari tetapi kadangkala mencatat perkara-perkara yang telah terjadi juga penting. Contohnya seperti perbelanjaan ataupun data bernombor yang mana mungkin dapat dibuat kajian atau statistik untuk kegunaan akan datang. Statistik penting dimana ia akan membantu anda membuat perancangan.

Semoga dengan perkongsian tersebut dapat memberi inspirasi kepada anda terutama usahawan internet. Sebagai orang yang menggunakan teknologi, anda bukan hanya perlu menaip blog atau status-status promosi dilaman media sosial. Tetapi menulis perancangan dan idea diluar media elektronik juga merupakan satu perkara yang penting. Latihan untuk menulis juga perlu dilakukan. Dulu penulis bukannya pandai untuk menulis tetapi rajin untuk mencari ilmu dan cuba menulis blog setiap minggu. Setelah bertahun cuba menulis, akhirnya boleh menyusun ayat walaupun tidak sehebat mana.Semoga anda juga berjaya!

Selasa, 5 Jun 2012

Adakah Blog Masih Relevan Pada Masa Kini?

Penulis selalu ditanya oleh rakan-rakan yang ingin menjalankan perniagaan internet dimana perlukah mereka membuat blog atau laman web untuk berniaga sedangkan mereka mempunyai Facebook. Pada penulis, blog dan web adalah sangat penting untuk perniagaan internet. Facebook pula akan menjadi penyokong yang kuat bagi blog dan web mereka. Berikut merupakan artikel dari mentor saya iaitu Irfan Khairi mengenai perkara ini;

Blog perniagaan adakah masih hidup atau mati ditelan media sosial yang lebih popular seperti YouTube, Twitter dan Facebook?

Kalau ditanya saya, jawapannya, blog dan blogging belum mati. Untuk perniagaan, blog masih lagi penting dan mempunyai manfaat yang tidak terdapat dalam media sosial yang lain. Antaranya:
  • Lebih fokus
    Blog adalah lebih fokus- pemilik blog perniagaan boleh memberi fokus pada mesej perniagaan apa yang ingin di sampaikan melalui blog. Bukan sahaja dari segi mesej, tetapi juga tema keseluruhan blog adalah bersaskan perniagaan yang dijalankan. Tidak seperti Facebook, di wall pemilik facebook akan terdapat berbagai-bagai mesej- dari kenalan, keluarga, perniagaan lain, dan juga pesaing sekiranya pemilik tersebut “like” laman FB pesaing. Inilah “fokus yang hilang” yang dimaksudkan.
  • Enjin pencari
    Enjin pencari seperti Google, Yahoo atau MSN suka pada laman web yang banyak maklumat dan sering dikemaskini. Blog, boleh mengoptimakan laman web kita di enjin pencari dan membawanya ke muka hadapan enjin pencari. Struktur blog dari segi programming adalah kemas- enjin pencari suka pada laman web yang mempunyai struktur yang kemas. Lakukan carian “perniagaan”, “kewangan”, “slogan perniagaan” dan banyak lagi di google… dan anda akan jumpa blog ini di muka pertama. Walaupun artikel telah ditulis bertahun-tahun lamanya!
  • Jenama sendiri
    Melalui blog, jenama sendiri dapat dibina menggunakan nama domain sendiri seperti www.irfankhairi.com. Bukan lagi menjdi satu subdomain seperti www.facebook.com/irfankhairi.fb, atau www.twitter.com/irfankhairi, atau www.youtube.com/irfanTV
Jadi, sama ada anda perlu memulakan blog atau tidak, pastinya jawapan saya adalah YA! Tak kira apa sahaja perniagaan Internet yang dijalankan, lebih banyak platform anda gunakan, lebih baik untuk perniagaan anda. Soalannya perlu atau tidak saya miliki blog, jawapannya adalah, perlu, tetapi bukan blog sahaja… malah, BLOG PERNIAGAAN, facebook perniagaan, twitter perniagaan, youtube perniagaan dan banyak lagi!

Diambil dari SINI.

Rumusannya blog atau web mempunyai kekuatan tersendiri. Sebaik-baiknya usahawan internet menumpukan lebih dari satu platform berniaga agar ia lebih mantap. Gabungan web, blog, Facebook, Youtube dan media sosial yang lain akan menguatkan lagi perniagaan anda. Pastikan anda menyediakan jadual yang baik agar semua platform yang digunakan sentiasa dikemaskini dan diuruskan dengan baik. Semoga berjaya!